Panduan Pada Hari Majlis Perkahwinan

Setelah segala persiapan majlis perkahwinan selesai, kini tibalah hari majlis perkahwinan anda. Pada hari inilah segala yang dirancang sebelumnya perlu dilaksanakan dan dipastikan berjalan lancar. Sudah semestinya anda sebagai pengantin tidak perlu melakukan semua tugas dan kerja, sebaliknya agih-agihkan kepada petugas-petugas yang telah anda lantik sebelum ini. Letakkan kepercayaan kepada mereka dalam mengendalikan majlis perkahwinan anda. Anda hanya perlu bertenang dan banyakkan memberi senyuman. Sepanjang majlis perkahwinan, anda mungkin akan melalui perkara-perkara yang berikut:

Di awal hari majlis perkahwinan
Sila bangun awal pagi. Hari ini adalah hari penting anda. Tunaikan solat dan mandi sunat supaya badan anda segar. Wangikan badan dengan aroma yang sesuai. Ini akan membantu 'mood' dan perasaan anda untuk menghadapi hari istimewa ini. Jangan abaikan sarapan pagi, bimbang nanti anda tidak selesa kerana perut memulas kelaparan. Periksa baju pengantin dan aksesori yang akan dipakai nanti, pastikan semua tersedia dan dalam keadaan baik. Bersolek dan tukar pakaian anda. Jika ada kesempatan, boleh bergambar secara solo atau dengan pasangan anda. Boleh juga jika ada saudara-mara yang ingin mencelah.

Semasa majlis akad pernikahan
Duduk dalam keadaan tenang dan selesa. Banyakkan berdoa dalam hati agar majlis berjalan lancar. Biasanya majlis akad pernikahan akan dimulakan dengan bacaan khutbah nikah oleh kadi. Dengar dengan teliti, jangan sampai tertidur! Untuk pengantin lelaki, usai akad nikah, bersalam-salaman dulu dengan kadi dan orang-orang di sekeliling anda sebelum menunaikan solat sunat syukur. Kemudian, berjumpa dengan pasangan untuk upacara membatalkan air sembahyang. Sarungkan cincin dan serahkan mas kahwin. Pengantin lelaki mungkin akan dipaksa mencium dahi pasangan, jadi pastikan anda boleh melakukannya dengan baik. Kemudian, bersalam-salamanlah dengan semua orang sebelum berarak ke tempat majlis perkahwinan.

Semasa majlis perkahwinan
Pastikan anda mengikuti segala acara yang telah dirancangkan. Layan tetamu yang datang dengan baik. Pastikan anda dan pasangan mengekalkan wajah yang berseri-seri sepanjang majlis walaupun kepenatan. Jangan hanya duduk di atas pelamin. Sebaliknya, turun dan beramah-mesra dengan tetamu. Ucapkan terima kasih atas kesudian menghadiri majlis perkahwinan anda. Bergaullah dengan seramai mungkin tetamu, jangan hanya menumpukan kepada rakan terdekat sahaja. Jika ada permintaan, jangan malu-malu untuk mengambil gambar bersama-sama tetamu.

Di akhir hari majlis perkahwinan
Majlis perkahwinan anda selesai juga akhirnya. Kini, anda bersama-sama dengan pasangan anda. Tunjukkan kasih sayang anda padanya, ambil berat akan semua keperluannya. Temani suami atau isteri anda untuk bergaul dan beramah-mesra dengan ahli keluarga anda. Pakailah pakaian yang sesuai. Gembirakan semua orang yang telah membantu untuk majlis perkahwinan anda. Apabila tiba waktu yang sesuai, ajaklah pasangan masuk ke bilik dan nikmati malam pertama anda sebaik-baiknya.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Panduan Mendapatkan Gambar Perkahwinan Yang Baik

Mengambil seorang jurugambar untuk merakamkan detik-detik indah majlis perkahwinan adalah antara perkara wajib yang perlu dilakukan oleh bakal pasangan pengantin. Amatlah rugi sekiranya tiada sekeping pun gambar diambil pada hari bahagia anda. Jadi, dalam persiapan majlis perkahwinan, janganlah lupa untuk mencari seorang jurugambar. Namun, kadang-kadang kos mengupah seorang jurugambar boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Adakah sepadan dengan hasil yang anda akan dapat? Untuk memastikan anda mendapat gambar perkahwinan yang setimpal dan menarik, beberapa tips yang berikut boleh dijadikan panduan:

1. Memilih jurugambar yang profesional
Lihat hasil kerja yang dilakukan oleh jurugambar yang akan anda bayar. Dapatkan seberapa banyak maklumat yang mungkin berkenaan pakej yang ditawarkan. Berbincanglah dengan jurugambar berkenaan kehendak anda. Seorang jurugambar yang profesional sudah semestinya akan memberikan idea-idea yang menarik untuk anda. Dia juga mesti pandai merancang dan tahu tugas-tugas yang perlu dilakukan. Semasa sesi perjumpaan dengan jurugambar, perkara-perkara inilah yang perlu anda ambil tahu untuk menentukan seorang jurugambar itu profesional ataupun tidak.

2. Rancang aturcara majlis perkahwinan
Dalam merancang aturcara majlis perkahwinan, pastikan setiap acara diberi waktu yang secukupnya supaya tidak berterabur dan tergesa-gesa. Dapatkan bantuan dan tenaga kerja yang mencukupi. Maklumkan kepada jurugambar tentang aturcara yang dirancang. Sebaik-baiknya, berikan satu salinan aturcara majlis. Tugaskan seseorang untuk membantu jurugambar dan memperincikan lokasi setiap acara. Dengan ini, jurugambar dapat merancang posisi-posisi dan sudut-sudut yang menarik untuk mengambil gambar perkahwinan anda.

3. Rehat yang cukup
Menjelang hari majlis perkahwinan, pastikan yang bakal pengantin mendapat rehat yang secukupnya. Agihkan kerja-kerja kepada yang lain. Ini untuk memastikan bakal pengantin kelihatan segar dan berseri. Gambar yang diambil sudah semestinya kelihatan cantik.

4. Ambil gambar dahulu
Selesai sahaja disolek, sebaik-baiknya ambil dulu beberapa keping gambar portrait. Waktu selepas disolek adalah waktu terbaik untuk mengambil gambar. Luangkan sedikit masa untuk jurugambar anda mengambil gambar. Jika diambil lewat, dibimbangi pengantin akan keletihan dan solekan telah cair atau kusam. Hasilnya, gambar sudah semestinya nampak tidak menarik.

5. Berlatih untuk senyum dan bergaya
Sebelum majlis perkahwinan, berlatihlah di depan cermin untuk senyum dan bergaya (posing). Jangan nanti pada hari majlis perkahwinan, anda kelihatan masam dan kaku. Ini akan mencacatkan gambar perkahwinan anda.

6. Bersabar menanti gambar disiapkan
Selepas habis majlis perkahwinan, biasanya jurugambar memerlukan masa satu ke dua minggu untuk menyiapkan gambar anda. Bersabarlah dan beri peluang jurugambar anda menyiapkan semuanya. Usah didesak dan ditekan untuk menyiapkan semuanya dengan cepat. Dibimbangi nanti jurugambar anda tergesa-gesa dan hasilnya gambar perkahwinan yang kabur, gelap dan tidak menarik.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Idea Menarik Untuk Wang Hantaran Perkahwinan

Perkahwinan masa kini sememangnya memerlukan belanja yang banyak, terutamanya untuk bakal pasangan lelaki. Perbelanjaan paling besar semestinya untuk menampung wang hantaran kahwin. Maklumlah, sudah menjadi budaya masa sekarang yang mana majlis perkahwinan menjadi seolah-olah pertandingan untuk membanding-bandingkan nilai si pengantin perempuan. "Berapa bayar hantaran kahwin ni?" Pasti ada yang akan bertanya tentang soalan sebegini.

Kadang-kadang, bukan ibubapa pengantin perempuan hendak menindas atau menzalimi pengantin lelaki dengan meletakkan wang hantaran yang tinggi, tetapi untuk mengelakkan kata-kata cacian daripada yang lain, bayaran yang setimpal perlu juga diminta. Maka, terpaksalah pengantin lelaki menyediakan sekurang-kurangnya RM 20,000; 10,000 untuk persiapan majlis perkahwinan dan 10,000 untuk wang hantaran kahwin.

Tetapi, tahukah anda ada cara yang lebih baik untuk memberikan wang hantaran kahwin tanpa memerlukan jumlah yang besar? Selain daripada memberikan wang tunai, ada cara lain yang boleh dijadikan ganti, dan semestinya cara-cara ini tampak mewah walau hanya melibatkan kos yang sedikit.

1. Wang pendahuluan rumah
Daripada meletakkan wang hantaran semata-mata, lebih baik wang tersebut dijadikan bayaran pendahuluan rumah baru. Jika anda pandai berkompromi dengan pemaju, biasanya bayaran pendahuluan untuk sebuah rumah adalah sekitar 5% dari harga rumah, malah boleh lebih rendah lagi. Sebagai permulaan, tidak perlulah membeli rumah yang terlalu mahal dan besar, anda hanya tinggal berdua dengan isteri sahaja, bukan? Carilah rumah di bawah harga RM 200,000, supaya wang pendahuluan kurang daripada RM 10,000. Selebihnya, buatlah pembiayaan bank. Untuk hantaran, letakkan sebuah replika rumah dan paparkan harga sebenar rumah. Bukankah satu kebanggaan jika dapat menyediakan sebuah rumah untuk bakal isteri (walaupun hanya bayar wang pendahuluan)?

2. Wang pendahuluan kereta
Cara ini hanya berkesan jika bakal pasangan atau anda sendiri masih belum mempunyai kereta. Sediakan wang pendahuluan dan dapatkan sebuah kereta yang anda mampu. Sama juga seperti cara di atas, buat satu replika kunci kereta dan paparkan harga kereta sebagai hantaran kahwin untuk pasangan. Namun, harus diingat, usahlah terlalu tamak mendapatkan sebuah kereta yang mahal, kerana nanti banyak belanja yang perlu anda dan pasangan keluarkan. Rancanglah sebaik-baiknya sebelum membeli sebuah kereta.

3. Polisi takaful
Pernah dulu disiarkan satu iklan yang menunjukkan seorang pengantin lelaki menjadikan polisi takaful sebagai hantaran kahwin untuk pasangannya. Semua tetamu yang hadir kagum dengan jumlah perlindungan dan pulangan yang ditawarkan oleh polisi tersebut. Memang satu idea yang menarik. Tahukah anda bahawa dengan hanya bayaran serendah RM 200 sebulan, anda boleh mendapatkan jumlah perlindungan sehingga Rm 50,000? Ya, dan ini boleh anda letak sebagai hantaran kahwin. Tidak rugi untuk mendapatkan polisi takaful, selain memberi perlindungan pada waktu-waktu tertentu, takaful juga bertindak sebagai tabung simpanan dan pelaburan (walaupn hasinya tidak seberapa). Pilihlah pelan takaful yang sesuai dengan anda.

4. Emas
Emas memang sesuatu yang mewah, bukan? Jadi, bolehlah anda pertimbangkan untuk dijadikan hantaran kahwin anda. Anda boleh gunakan jongkong emas ataupun kepingan dinar emas. Walau berapa pun nilai yang anda bagi, tiada siapa yang akan memperlekehkannya. Itulah kuasa emas; mewah adalah sifat semulajadinya. Tidak rugi anda laburkan wang untuk emas, pasti memberikan pulangan yang baik jika disimpan untuk tempoh yang lama.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Tips Kad Jemputan Kahwin

Walaupun sekarang kita mempunyai emel dan Facebook untuk membuat pengumuman dan menjemput para tetamu ke majlis perkahwinan kita, namun kad jemputan kahwin masih tetap menjadi pilihan utama. Tidak lengkap persiapan majlis perkahwinan jika tidak memikirkan tentang kad jemputan kahwin. Harus diingat, kad jemputan kahwin hanyalah alat untuk memberitahu dan menjemput tetamu ke majlis perkahwinan anda, maka tidak perlulah membazirkan terlalu banyak wang. Tidak dinafikan, kad jemputan kahwin yang cantik dan unik sudah semestinya menjadi idaman semua bakal pengantin, tetapi harga yang perlu dibayar semestinya tinggi. Bukan rekabentuk yang cantik dan harga yang tinggi menjadi keutamaan, tetapi maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam kad jemputan kahwin adalah lebih penting. Jadi, jika anda ingin menempah kad jemoutan kahwin, pastikan maklumat-maklumat yang berikut ada:

1. Nama pengantin
Ya, kad jemputan kahwin anda perlulah ditulis dengan nama anda dan bakal pasangan. Pada muka hadapan, letakkan nama ringkas atau gelaran. Pada muka belakang atau dalam, letakkan nama penuh. Pastikan nama ditulis dengan jelas, dan orang lain dapat mengenal anda dan pasangan melalui nama yang ditulis.

2. Nama ibubapa/penjaga
Jangan lupa untuk meletakkan nama ibubapa pada kad perkahwinan anda kerana kebiasaannya tetamu yang hadir, selain rakan-rakan anda dan pasangan, lebih mengenali kedua-dua ibubapa anda. Letakkan nama gelaran untuk memudahkan tetamu mengenali mereka. Jika salah seorang sudah tiada, tuliskan sahaja nama ibu atau bapa yang masih ada, tetapi janganlah ditinggalkan nama ibu atau bapa tiri anda (jika ada). Jika kedua-duanya sudah tiada, tuliskan nama penjaga yang mewakili anda seperti datuk, nenek, bapa saudara dan abang.

3. Jenis majlis
Berhati-hati menulis jenis majlis dalam kad jemputan anda. Perkara ini kadang-kala menjadi sangat sensitif, terutama di kawasan kampung. Perkataan 'majlis perkahwinan' dan 'majlis menyambut menantu' menunjukkan yang tuan rumah mengharapkan hadiah atau sumbangan wang dari tetamu yang hadir. Mereka yang diundang mungkin keberatan untuk hadir ke majlis anda kerana seolah-olah terpaksa mengeluarkan belanja memberi hadiah atau sumbangan, lebih buruk lagi jika mereka turut diundang ke majlis lain yang juga menharapkan sumbangan hadiah dan wang. Jika anda ikhlas menjemput tetamu dan tidak mahu membebankan tetamu supaya menyediakan sumbangan, sebaik-baiknya gunakan perkataan 'majlis kesyukuran' dalam kad jemputan kahwin anda.

4. Tarikh dan hari majlis
Supaya tidak mengelirukan bakal tetamu, tuliskan tarikh dan hari majlis dengan jelas. Periksa dulu sebelum kad dicetak, kerana dibimbangi tersilap.

5. Lokasi majlis
Nyatakan alamat lokasi majlis dengan jelas. Letakkan peta ke arah lokasi majlis perkahwinan anda. Pastikan beberapa tanda atau bangunan penting diletakkan dalam peta tersebut. Lebih baik sekiranya anda turut meletakkan koordinat lokasi majlis perkahwinan anda. Maklumlah, sekarang ramai orang mempunyai alat GPS. Meletakkan koordinat lokasi majlis akan memudahkan mereka.

6. Nombor telefon untuk dihubungi
Tuliskan nombor telefon anda dan kedua-dua ibubapa. Pada hari majlis perkahwinan, anda mungkin sibuk dan tidak sempat melayan telefon anda. Oleh itu, tinggalkannya dengan pengapit atau adik-beradik anda. Langkah paling selamat, letakkan juga nombor telefon salah seorang adik-beradik atau rakan anda dalam kad jemputan kahwin.

7. Aturcara majlis
Jika ada ruang, tuliskan secara ringkas aturcara majlis; waktu mula, waktu ketibaan pengantin dan waktu akhir. Ini akan memudahkan tetamu untuk merancang kehadiran mereka supaya dapat berjumpa dengan pengantin. Anda semestinya ingin berjumpa dengan para tetamu yang hadir, bukan?

8. Doa
Tuliskan doa kelancaran majlis dan kebahagiaan rumah tangga dalam kad jemputan kahwin anda. Masukkan nama anda dan pasangan dalam doa tersbut. Bayangkan, setiap seorang yang menerima kad jemputan kahwin anda sudah semestinya akan mendoakan anda. Insya-Allah, perkahwinan anda dan pasangan akan diberkati-Nya.

Waktu yang sesuai untuk menempah kad jemputan kahwin adalah tiga bulan sebelum majlis perkahwinan. Kad biasanya memerlukan masa dua ke tiga minggu untuk disiapkan. Baki sebulan sebelum tarikh majlis perkahwinan adalah waktu yang sesuai untuk mengedar kad dan menjemput tetamu. Anda boleh pergi ke kedai-kedai percetakan di sekitar anda untuk menempah kad jemputan kahwin. Untuk lebih mudah, lakukan sahaja carian dalam internet, banyak laman web yang menawarkan perkhidmatan mencetak kad kahwin.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Tips Memilih Jurusolek atau Juruandam

Bagi yang ingin mendapatkan sentuhan profesional dari segi tatarias diri pada majlis perkahwinan nanti, khidmat daripada juruandam atau jurusolek semestinya diperlukan. Apa beza juruandam dan jurusolek? Ramai sebenarnya yang keliru tentang skop tugas juruandam dan jurusolek. Skop kerja jurusolek lebih terhad kepada solekan sahaja; mereka berkemahiran menyolek wajah pengantin dengan solekan yang terkini dan sesuai dengan wajah pengantin. Kelebihan memilih jurusolek adalah bajet yang rendah dan sentuhan solekan yang lebih baik kerana mereka sememangnya dilatih khusus untuk solekan.

Juruandam, ataupun mak andam, pula mempunyai skop kerja yang lebih luas. Selain berperanan menyolek pengantin, juruandam juga mempunyai pelbagai koleksi baju pengantin yang dapat digunakan oleh pengantin. Di samping itu, juruandam mempunyai kelengkapan secukupnya untuk menatarias pelamin dan bilik tidur. Khidmat rawatan wajah, badan dan sebagainya turut disediakan oleh juruandam profesional. Kadang-kadang, juruandam turut berkongsi petua dan amalan yang boleh dilakukan bakal pengantin untuk menambahkan seri diri dan menambat hati pasangan. Namun, berhati-hatilah dalam memilih amalan yang diajarkan, dibimbangi terselit unsur-unsur tidak baik seperti susuk, botox dan sebagainya.

Untuk mencari juruandam dan jurusolek untuk majlis perkahwinan nanti, anda boleh mencari maklumat menerusi iklan-iklan di majalah-majalah pengantin, surat khabar dan internet. Beberapa perkara yang berikut boleh dijadikan panduan dalam memilih jurusolek atau juruandam;

1. Pastikan juruandam atau jurusolek yang akan dipilih mempunyai pengalaman dalam menatarias pengantin sebelum ini. Dapatkan testimonial daripada pelanggan-pelanggan sebelum ini. Kalau boleh, minta gambar-gambar solekan pengantin yang pernah dilakukan oleh juruandam atau jurusolek tersebut.

2. Buat temujanji dan cuba dahulu solekan yang dilakukan oleh juruandam atau jurusolek tersebut. Bawa rakan atau ahli keluarga untuk mendapatkan maklumbalas. Tidak perlu mengambil masa yang lama; seorang juruandam atau jurusolek yang mahir sudah semestinya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyolek anda.

3. Pastikan anda berpuas hati dengan solekan percubaan yang diberi. Dapatkan konsep solekan yang akan digunakan ke atas anda. Pastikan solekan yang dibuat nanti tidak keterlaluan, sesuai dengan kulit wajah, pakaian pengantin yang dipakai dan tema majlis perkahwinan. Usahlah terlalu tebal sehingga menjadikan wajah anda seperti orang lain; mungkin nanti pasangan tidak dapat mengecam anda. Cukuplah sekadar solekan yang dapat menyembunyikan kecacatan yang ada dan menaikkan seri wajah anda.

4. Seboleh-bolehnya, cuba minta supaya orang yang menyolekkan anda semasa sesi percubaan adalah orang yang sama yang akan berkhidmat semasa majlis perkahwinan nanti. Walaupun pekerja dari butik atau tempat yang sama, kadang-kadang teknik dan hasil solekan akan berbeza. Jika ini terjadi, anda mungkin mendapat hasil solekan yang baik semasa sesi percubaan, tetapi tidak semasa hari majlis perkahwinan. Bukankah ini satu kerugian buat anda?

5. Buat kajian terlebih dahulu dengan menilai dan membandingkan sekurang-kurangnya tiga atau lebih jurusolek atau juruandam supaya anda mendapat khidmat yang terbaik pada harga berpatutan. Setelah memilih yang berkenan di hati, buat tempahan awal supaya tidak diambil pengantin lain. Menempah jurusolek atau juruandam sebaik-baiknya dilakukan dua atau tiga bulan sebelum majlis perkahwinan.

Mendapatkan khidmat profesional seorang juruandam atau jurusolek adalah pilihan, bergantung kepada kehendak dan keupayaan bajet persiapan majlis perkahwinan anda. Sekiranya merasakan anda tidak mampu mendapatkan khidmat mereka, mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai kemahiran menyolek. Solekan hanyalah sebagai alat. Yang penting, anda sendiri yakin dengan penampilan anda, banyakkan senyum dan jaga kesihatan supaya tidak kelihatan lesu dan letih di hari majlis perkahwinan nanti.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Tips Berkaitan Baju Pengantin

Tidak lengkap sebuah majlis perkahwinan jika pengantin tidak memakai set pakaian pengantin yang istimewa. Maklumlah, raja dan ratu sehari, sudah semestinya akan menjadi tumpuan semua tetamu yang datang. Pemakaian set baju atau busana cantik disertai aksesori menarik pastinya akan menyerlahkan lagi seri pengantin baru. Dalam memilih baju pengantin yang akan dipakai ketika majlis perkahwinan nanti, beberapa perkara yang berikut boleh dijadikan panduan:

1. Berapa pasang
Tentukan berapa pasang yang anda kehendaki. Jumlah pasang bergantung kepada berapa jenis majlis yang anda adakan. Secara umumnya, minimum dua pasang sudah memadai; satu pasang dipakai ketika majlis pernikahan dan kenduri di rumah perempuan, dan satu pasang semasa kenduri di rumah lelaki. Jika anda mengadakan semua majlis serentak pada satu hari, satu pasang pun sudah mencukupi. Yang penting, janganlah dipakai sepasangan baju yang sama pada hari yang berlainan. Oleh itu, jika anda ingin mengurangkan jumlah pasang baju pengantin, pastikan semua majlis yang berkaitan tidak diadakan pada hari-hari yang berbeza.

2. Beli/tempah/sewa
Untuk mendapatkan baju pengantin, tiga cara utama yang boleh dilakukan; tempah, beli ataupun sewa. Cara terbaik adalah dengan menempah, kerana anda boleh berbincang dengan tukang jahit berkenaan rekabentuk yang diingini berdasarkan citarasa anda. Tambahan lagi, ukuran dan saiz boleh disesuaikan dengan badan anda. Jika ingin membeli yang sudah siap, sesuai jika anda mempunyai bentuk dan saiz badan yang normal kerana kebanyakan baju direka berdasarkan saiz normal kebanyakan orang. Jika anda tidak mempunyai bajet yang tinggi untuk menempah sendiri atau membeli yang sudah siap, anda boleh menyewa set pakaian pengantin daripada butik-butik pengantin. Namun, harus diingat, anda perlu menyewa dengan lebih awal, bimbang tiada saiz dan baju yang sesuai jika sudah terlewat.

3. Rekabentuk
Rekabentuk baju pengantin yang anda pilih, samaada baju melayu, baju kebaya melayu, ala Inggeris, ala Bollywood dan sebagainya, perlulah sesuai dengan tema majlis perkahwinan anda. Dari segi jenis material pula, anda perlulah menentukan samaada inginkan kain satin, songket, lase dan sebagainya. Dapatkan pandangan daripada pereka baju ataupun jurujual butik pengantin untuk mendapatkan rekabentuk dan jenis material yang sesuai untuk majlis perkahwinan anda.

3. Warna
Pemilihan warna baju pengantin yang salah akan sedikit sebanyak mencacatkan majlis perkahwinan impian anda, jadi anda harus berhati-hati tentang ini. Pastikan warna yang dipilih sesuai dengan bentuk tubuh dan warna kulit anda. Jika anda berbadan gempal, anda boleh tampak lansing jika mengenakan baju pengantin yang berwarna sedikit gelap dan diperbuat daripada material kain tidak licin. Untuk pengantin yang berkulit gelap, seelok-eliknya elakkan warna gelap kerana akan menenggelamkan seri pengantin baru. Namun, memilih warna yang sangat terang juga adalah tidak sesuai terutama apabila gambar diambil. Pilihan terbaik adalah memilih baju pengantin yang berwarna lembut dan sederhana, seperti kuning dan putih. Apa-apapun, semuanya bergantung kepada citarasa dan minat anda.

4. Aksesori
Walau baju pengantin yang dipakai adalah ringkas dari segi rekabentuk, jenis dan warna materialnya, namun anda masih boleh menyerlahkan penampilan anda dengan menggunakan aksesori yang sesuai. Rantai, keronsang, gelang, mahkota dan selendang adalah aksesori yang sesuai untuk dipakai pengantin wanita. Manakala, untuk pengantin lelaki, bergantung kepada jenis baju yang dipakai, aksesori yang sesuai adalah songkok, keronsang, sampin dan keris. Perlu diingatkan aksesori yang dipakai usahlah terlampau banyak sehingga menyebabkan anda tidak selesa dan sukar bergerak. Di samping aksesori tambahan, pemilihan kasut yang bersesuaian dengan pakaian yang dipakai turut memainkan peranan yang penting. Elakkan memakai selipar biasa.

6. Istimewa
Sebagai raja dan ratu sehari, pengantin perlulah tampil lebih istimewa berbanding yang lain di majlis perkahwinan. Oleh itu, pastikan baju pengantin yang anda pakai adalah berlainan dengan yang lain. Pastikan pengapit tidak lebih menonjol daripada anda. Jika ingin semua ahli keluarga memakai baju yang seragam, pastikan warna yang dipilih adalah berlainan daripada warna baju pengantin anda.

Sebagai meraikan sehari yang istimewa dan bahagia, maka tidak salahlah untuk pengantin mendapatkan set pakaian pengantin yang istimewa untuk diri mereka sendiri. Yang penting, pakaian yang dipilih tidak menjurus kepada pembaziran, berlebih-lebihan dan melanggar batas tatasusila adat dan ajaran agama.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Tips Memilih Cincin Perkahwinan

Rasanya tidak lengkap sesebuah perkahwinan jika tidak memberikan cincin kahwin untuk pengantin perempuan, tidak kiralah samaada ketika majlis pertunangan ataupun pernikahan. Boleh dikatakan, cincin adalah tanda ikatan sesebuah perhubungan yang diamalkan oleh kebanyakan adat di dunia. Dalam adat Melayu, cincin mula-mulanya diberi semasa datang merisik dan meminang, kemudian semasa bertunang dan akhir sekali selepas majlis pernikahan. Pada masa sekarang, oleh kerana terdapat pilihan barangan kemas yang lebih banyak, ada yang hanya memberikan cincin semasa majlis pertunangan, dan memberkan tali tangan atau gelang semasa majlis pernikahan. Dengan cara ini, pengantin perempuan tidak perlu memakai terlalu banyak cincin pada satu-satu masa.

Memakai cincin pertunangan dan pernikahan tidak hanya terhad kepada pasagan wanita, malah, kini, turut diberikan kepada pasangan lelaki. Semasa majlis pertungan, selesai ibu pasangan lelaki memakaikan cincin kepada pasangan wanita, ayah si wanita akan memakaikan cincin kepada pasangan lelaki sabagai tanda pertunangan. Untuk majlis pernikahan pula, selesai akad nikah, biasanya pasangan lelaki dan wanita akan dipertemukan untuk saling menyarung cincin antara satu sama lain sebagai tanda memulakan hubungan sah suami isteri.

Dalam melakukan persiapan majlis perkahwinan, beberapa perkara yag berikut perlu diberi perhatian dalam mendapatkan cincin untuk pasangan anda:

1. Bahan buatan
Sebagai penghargaan kepada pasangan wanita, sebaik-baiknya pihak lelaki mendapatkan cincin yang diperbuat daripada emas, samaada emas kuning atau putih. Emas kuning bersifat lebih menyerlah dengan warna kuning keemasannya, manakala emas putih lebih menonjolkan kemewahan dan elegan. Dari segi harga, emas kuning adalah lebih murah dan stabil berbanding emas putih; emas kuning boleh dijual semula pada harga yang lebih baik dan tinggi berbanding emas putih. Berbanding dengan pasangan wanita yang dibolehkan memakai emas, pilihan yang terbaik untuk pasangan lelaki adalah cincin yang diperbuat daripada perak.

2. Kesesuaian
Selain dari segi bahan buatan cincin, perlu diambil kira juga kesesuaian cincin terutama dari segi saiz, reka bentuk, corak dan ukiran yang terdapat pada cincin tersebut dengan warna kulit dan bentuk jari si pemakai. Tersalah memilih cincin yang tidak sesuai akan menyebabkan pemakai berasa tidak selesa dan tidak cantik pada pandangan orang lain.

3. Praktikaliti
Harus diingat yang cincin yang diberi perlu dipakai pada kebanyakan masa dan setiap hari oleh pemakai. Jadi, memilih cincin yang selesa, mudah dipakai dan tidak mengganggu tugas-tugas seharian perlu diberi keutamaan. Cincin yang terlalu besar mungkin tidak sesuai jika kerja-kerja seharian banyak menggunakan jari-jemari anda.

4. Batu permata
Batu permata memainkan peranan yang penting dalam menaikkan seri cincin. Pilihan yang mewah sudah semestinya dari jenis berlian. Namun, dengan harganya yang mahal, mungkin akan menyebabkan bajet persiapan majlis perkahwinan anda terganggu. Lagipun, cincin bertakhtakan berlian atau sebarang jenis batu permata kebiasaannya mempunyai harga jualan semula yang rendah. Bukan semua orang sukakan cincin bertakhtakan batu permata, oleh itu tanyalah pasangan anda terlebih dahulu sebelum memilih cincin untuk si dia.

5. Alergi
Sesetengah orang mungkin alergi atau alahan kepada emas kuning yang merupakan emas tulen. Alternatif yang ada adalah emas putih yang sebenarnya dalah campuran emas dengan nikel atau palladium. Cincin perak juga boleh menjadi pilihan yang sesuai. Periksa dulu samaada pasangan anda mempunyai alahan pada emas ataupun tidak. Bimbang nanti cincin yang diberi akan menyebabkan kemerahan dan kegatalan kepada jari pasangan anda.

6. Bajet
Walauapapun pilihan cincin anda, pastikan yang harganya masih mampu ditampung dan tidak lari dari bajet yang anda tetapkan.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Tips Bajet Persiapan Majlis Perkahwinan

1. Kenalpasti kemampuan
Ukur baju di badan sendiri. Pastikan anda tahu berapa banyak wang yang anda ada, dan berapa banyak anda sanggup belanjakan untuk persiapan majlis perkahwinan. Elakkan berhutang untuk memenuhi majlis perkahwinan impian. Simpan sedikit baki wang yang ada untuk persiapan memulakan kehidupan selepas berkahwin nanti. Perbelanjaan selepas berkahwin biasanya akan meningkat berbanding semasa bujang; anda mungkin perlu berpindah rumah, membayar sewa yang lebih mahal, perjalanan yang lebih jauh ke tempat kerja dan lain-lain.

2. Kenalpasti majlis perkahwinan idaman
Berbincanglah dengan pasangan dan keluarga berkenaan bentuk perkahwinan yang diidamkan. Nyatakan jumlah bajet yang anda sanggup keluarkan. Berbincanglah dari segi tema majlis perkahwinan, jumlah hantaran, bilangan hantaran, jumlah tetamu, makanan dan persiapan-persiapan lain. Dapatkan pendapat dari keluarga dan rakan-rakan berkenaan pilihan persiapan majlis perkahwinan anda.

3. Senarai dan kajian kos
Senaraikan semua perkara dan barang keperluan yang perlu disiapkan untuk majlis perkahwinan kelak. Kaji dan kira jumlah kos setiap yang disenaraikan. Ambil kira juga kos-kos tersembunyi dan perbelanjaan-perbelanjaan kecil diluar jangka seperti pengangkutan, tol dan sebagainya. Pastikan jumlah kos yang dikira tidak tersasar jauh daripada jumlah bajet yang akan diperuntukkan.

4. Tentukan siapa yang bayar
Jika majlis perkahwinan diadakan serentak untuk kedua-dua pengantin lelaki dan wanita, semestinya banyak perbelanjaan dapat dijimatkan. Perkara ini biasanya dilakukan oleh pasangan pengantin yang tinggal berdekatan. Oleh itu, jika anda merancang melakukan sebegini, berbincanglah dengan pasangan tentang siapa yang bayar untuk itu dan ini. Jika ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang ingin menyumbang wang atau penaja, catatkan nama dan jumlah tajaan mereka dalam senarai bajet yang anda telah buat.

5. Pengurusan kewangan
Setiap bakal pengantin harus mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang baik, yang mana melibatkan pengurusan pendapatan, hutang dan perbelanjaan. Setiap orang harus mempunyai bajet bulanan, dan cuba berbelanja tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Setiap perbelanjaan harian perlu dicatatkan untuk mengetahui aliran keluar wang anda. Di samping itu, minimum 10% daripada jumlah pendapatan yang diperoleh haruslah disimpan bukan sahaja sebagai persiapan majlis perkahwinan, bahkan untuk masa depan. Sedaya-upaya mungkin, cubalah mencari peluang menambahkan pendapatan dengan melakukan kerja-kerja sampingan ataupun berniaga kecil-kecilan. Dengan menguruskan kewangan dengan baik, anda boleh berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan ini akan menambahkan jumlah tabungan untuk persiapan majlis perkahwinan kelak.

6. Kaji dan bandingkan harga
Untuk setiap perkara persiapan majlis perkahwinan, cuba buat kajian pasaran ke atas pilihan-pilihan yang ada. Cari dua atau tiga pembekal untuk setiap yang perkara yang diingini, bandingkan harga, kaji tawaran yang diberi dan buatlah pilihan yang bijak. Dengan ini, anda dapat memilih persiapan majlis perkahwinan yang hebat pada harga yang terbaik.

7. Kejar 'Jualan Murah'
Di Malaysia, kita sebenarnya beruntung kerana terdapat banyak perayaan yang disambut. Dan kebiasaannya, semasa musim perayaan, banyak tawaran jualan murah yang diadakan. Begitu juga semasa awal dan akhir tahun, banyak penjual akan mengadakan jualan murah untuk menarik pembeli. Oleh itu, amatlah rugi jika anda tidak mengambil kesempatan jualan murah yang ada untuk mendapatkan barang-barang persiapan majlis perkahwinan anda. Di samping semasa jualan murah, anda juga boleh mengambil kesempatan mendapatkan harga murah di festival pengantin yang banyak diadakan di seluruh negara.

8. Rekod perbelanjaan
Untuk setiap perbelanjaan yang dilakukan untuk persiapan majlis perkahwinan anda, sebaik-baiknya catat dan simpan semua resit sehinggalah tamat majlis perkahwinan nanti. Perbelanjaan yang direkodkan akan membantu anda mengawal bajet dari semasa ke semasa; anda boleh melakukan penjimatan ataupun menambah peruntukan jika perbelanjaan hampir melebihi bajet awal yang ditetapkan. Resit-resit yang disimpan pula akan membantu anda untuk menuntut gantirugi jika ada mana-mana pembekal yang tidak menunaikan janji dengan sepenuhnya.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Mengumpul Bajet Untuk Persiapan Majlis Perkahwinan

Pada masa sekarang, untuk mengadakan sesebuah majlis perkahwinan, sejumlah peruntukan yang besar diperlukan. Jika pada masa dahulu, kebanyakan kos persiapan majlis perkahwinan ditanggung oleh ibubapa, ataupun dikerjakan secara gotong-royong oleh orang-orang kampung, tetapi sekarang sebahagian besarnya perlu ditanggung sendiri oleh bakal pasangan pengantin. Ini sememangnya sesuatu yang membebankan bagi bakal pengantin yang majoritinya terdiri daripada golongan muda yang baru bekerja.

Boleh dikatakan yang pihak lelaki perlu memperuntukkan jumlah bajet yang lebih besar berbanding perempuan untuk persiapan majlis perkahwinan. Ini kerana, pihak perempuan hanya perlu berbelanja besar untuk kenduri perkahwinan sahaja; sedikit untuk hantaran dan lain-lain seperti pelamin, set baju, jurusolek dan jurugambar. Tambahan lagi, semasa kenduri, pihak perempuan boleh 'mengutip' wang daripada para tetamu yang datang.

Berbeza dengan pihak lelaki yang bukan sahaja perlu menyediakan bajet yang besar untuk kenduri perkahwinan, tetapi perlu juga menyediakan wang hantaran yang kadang-kadang nilainya sangat membebankan. Walaupun sekadar adat, jumlah wang hantaranlah yang sering menjadi buah mulut orang; terlalu sedikit akan diumpat kedekut, terlalu tinggi akan dikata ingin menunjuk-nunjuk. Namun di sinilah sebenarnya cabaran kepada seorang lelaki, adakah mereka mampu menyediakan wang yang secukupnya untuk membiayai majlis perkahwinan sendiri.

Sebagai panduan, empat langkah yang berikut perlu diamalkan oleh bakal pengantin lelaki mahupun perempuan untuk membantu mengurus kewangan sendiri dan seterusnya mengumpul bajet untuk persiapan majlis perkahwinan:

1. Mengawal perbelanjaan
Langkah pertama dalam mengumpul bajet persiapan majlis perkahwinan adalah dengan mengawal perbelanjaan seharian, seterusnya mingguan dan bulanan. Sebaik-baiknya, setiap orang mempunyai bajet bulanan sendiri, dan cuba sedaya upaya mematuhi bajet yang dibuat. Untuk menghasilkan bajet bulanan, anda perlulah terlebih dahulu mengetahui tentang aliran wang masuk dan keluar bulanan. Caranya, dengan mencatat segala jenis pendapatan dan perbelanjaan yang anda lakukan dalam tempoh sebulan.

Setelah mencatat semuanya, cuba perhatikan samaada anda ada membuat sebarang simpanan atau tidak? Jika tiada, anda sepatutnya cuba menyimpan sedikit wang terlebih dahulu, sebelum sebarang perbelanjaan dibuat. Cuba perhatikan juga jika baki bulanan anda adalah positif atau negatif? Jika positif, itu petanda yang baik kerana simpanan anda akan sentiasa bertambah. Tetapi, jika negatif, simpanan anda akan sedikit demi sedikit terhakis ataupun tiada langsung. Sekiranya ini yang terjadi, anda perlulah mengawal perbelanjaan dengan membuat bajet bulanan. Bajet bulanan boleh dibuat berdasarkan kepada pendapatan dan perbelanjaan yang anda catat tadi. Cuba untuk kurangkan sebarang perbelanjaan yang tidak perlu supaya baki bulanan mencatat nilai positif.

2. Mengurus hutang
Sebagai pasangan muda yang bakal berkahwin, anda kebiasaannya akan mempunyai tiga hutang yang utama; pinjaman pelajaran, sewa-beli kereta dan caj kad kredit. Setiap bulan, anda mungkin perlu memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membayar hutang-hutang ini. Bagaimana ingin mengawalnya? Jawapannya, cuba kurangkan mana yang boleh. Contohnya, hutang kereta, jika anda masih belum mempunyai kereta dan inginkan kereta, cuba beli kereta berkapasiti kecil ataupun 'second-hand', apabila sudah mampu kelak, bolehlah mendapatkan kereta impian yang loebih besar dan baru. Jika anda mempunyai lebih dari satu kad kredit, cuba selesaikan hutang kad kredit yang mempunyai caj paling mahal, tamatkan yang lain dan gunakan satu sahaja kad kredit. Untuk semua jenis hutang, elakkan tidak membayar ataupun membayar jumlah minimum sahaja. Ini akan menyebabkan jumlah hutang akan semakin bertambah disebabkan kadar faedah yang dikenakan.

3. Menambah pendapatan
Untuk mengumpul wang persiapan majlis perkahwinan dengan lebih pantas, cara terbaik dalah dengan menambah pendapatan. Sebagai seorang bujang, anda semestinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan kerja lebih masa di tempat kerja anda supaya mendapat elaun kerja lebih masa yang mana kadarnya dibayar lebih tinggi berbanding waktu kerja biasa. Ataupun, anda boleh lakukan kerja-kerja sampingan seperti berniaga dan mengambil upah melakukan kerja-kerja yang anda mahir. Jika anda bijak merebut peluang, pendapatan sampingan mungkin boleh melebihi pendapatan kerja tetap anda.Dalam e-buku Mas Kahwin Yang Hilang, ada diceritakan tentang bagaimana seorang lelaki mengumpul RM 5,000.00 dengan hanya berdiri beberapa jam. Baca e-buku tersebut dan cuba tiru apa yang dilakukan lelaki tersebut.

4. Melakukan penjimatan
Langkah keempat ini adalah kesinambungan kepada langkah yang pertama di atas. Setelah mengenalpasti perbelanjaan yang sering dilakukan, asingkan setiap perbelanjaan kepada kumpulan perbelanjaan tetap dan bolehubah. Perbelanjaan tetap biasanya tidak berubah dan memenuhi komitmen sepenuhnya setiap bulan, seperti membayar hutang, sewa rumah dan insurans. Anda mungkin tidak mempunyai peluang untuk berjimat daripada perbelanjaan tetap.

Perbelanjaan bolehubah sering berubah-ubah, dan terbahagi kepada keperluan dan kehendak. Contoh perbelanjaan bolehubah keperluan adalah makanan, pakaian, minyak kereta, bili-bil utiliti dan keperluan rumah. Manakala, perbelanjaan bolehubah kehendak lebih kepada perbelanjaan yang dikeluarkan untuk keseronokan dan kepuasan diri-sendiri, seperti makan di restoran mahal, pakaian berjenama mahal dan hiburan berlebihan. Untuk mengumpul lebih banyak wang persiapan majlis perkahwinan, anda boleh berjimat untuk mengurangkan perbelanjaan bolehubah. Ubahlah kepada gaya hidup lebih sederhana untuk menjimatkan wang dan menambahkan simpanan. Banyak tips penjimatan yang boleh anda cari dan amalkan.

Kesimpulannya, mengumpul wang untuk persiapan majlis perkahwinan adalah merupakan pengajaran pertama untuk pihak lelaki (dan perempuan) dalam mengurus dan mengawal kewangan sendiri. Ilmu dan pengalaman yang ditimba dalam proses ini semestinya akan berguna untuk menghadapi cabaran kewangan yang lebih getir selepas berkahwin kelak.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Prosedur Pernikahan di Malaysia

Dalam keghairahan menyediakan keperluan persiapan majlis perkahwinan, janganlah sampai terlupa tentang perkara paling asas, iaitu mematuhi kesemua prosedur pernikahan yang berkaitan. Anda semestinya tidak mahu majlis perkahwinan terganggu atau tertunda disebabkan masalah dengan prosedur pernikahan, bukan? Oleh itu, anda dinasihatkan untuk menyegerakan proses memenuhi prosedur pernikahan supya tidak kelam-kabut di kemudian hari.

Di Malaysia, prosedur pernikahan diuruskan oleh Pejabat Agama Islam Negeri masing-masing, yang merupakan satu jabatan di bawah bidang kuasa setiap Kerajaan Negeri. Maka, mungkin akan terdapat sedikit perbezaan kecil berkenaan prosedur pernikahan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Namun, usahlah anda risau kerana perbezaan ini tidak akan menyulitkan permohonan pernikahan anda. Asalkan sahaja anda mematuhi semua prosedur dengan lebih awal, segala-galanya akan menjadi mudah.

1. Kursus Pra-perkahwinan
Semua pasangan yang ingin berkahwin buat pertama kali wajib menghadiri kursus pra-perkahwinan sebelum memohon kebenaran berkahwin. Kebiasaannya, kursus diadakan selama dua hari pada hari hujung minggu dan dianjurkan oleh agensi NGO dan swasta. Anda boleh menghadiri kursus pra-perkahwinan di mana-mana saja negeri di Malaysia, asalkan diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam. Di penghujung kursus, biasanya akan diadakan ujian bertulis untuk menilai kefahaman para peserta. Jika lulus, sekeping sijil layak bernikah akan dikeluarkan, dan sijil ini sah laku seumur hidup anda. Salinan sijil ini perlu dihantar bersama-sama borang permohonan nikah kelak.

Untuk menghadiri kursus pra-perkahwinan, bakal pengantin perlulah mendaftar terlebih dahulu dengan penganjur yang boleh dicari dalam talian internet ataupun iklan-iklan akhbar. Untuk pengesahan status kelayakan penganjur, anda boleh merujuk kepada Pejabat Agama Negeri. Pendaftran awal adalah digalakkan untuk memudahkan anda memilih tarikh yang sesuai. Yuran yang dikenakan berbeza bergantung kepada penganjur, kebiasaannya antara RM 50-100. Anda boleh datang dengan pasangan, rakan-rakan ataupun secara bersendirian.

2. Mas Kahwin
Pemberian mas kahwin atau mahar kepada isteri adalah wajib ke atas suami. Mas kahwin boleh diberi dalam bentuk wang, harta ataupun amalan-amalan tertentu seperti bacaan Quran. Jika dalam bentuk wang atau harta, boleh diberikan secara tunai ataupun hutang. Sekiranya diakad secara hutang, suami tidak mempunyai hak yang penuh ke atas isteri selagi bayaran mas kahwin tidak diselesaikan. Mas kahwin adalah milik penuh si isteri, dan jika isteri ingin menebus talak di kemudian hari, bayaran mas kahwin perlu dikembalikan jika diputuskan kadi/hakim.

Dalam Islam, jumlah bayaran mas kahwin adalah tidak tetap, bergantung kepada persetujuan bakal isteri. Namun, dalam aspek perundangan negeri, sesetengah Pejabat Agama Negeri menetapkan jumlah minimum mas kahwin yang perlu dibayar, dan ada juga yang tidak menetapkan sebarang had minimum. Oleh itu, perlulah bertanya kepada Pejabat Agama Negeri bakal isteri untuk lebih kepastian. Harus diketahui, mas kahwin adalah berbeza dengan wang hantaran. Mas kahwin adalah kewajipan, manakala wang hantaran adalah adat semata-mata.

3. Borang Permohonan Nikah
Untuk memohon kebenaran bernikah, kedua-dua belah pihak perlulah mengisi dan menghantar borang permohonan nikah disertai dokumen-dokumen sokongan yang ditetapkan. Borang boleh diperoleh daripada Pejabat Agama Negeri, Penolong Pendaftar Nikah kariah ataupun melalui laman web Pejabat Agama Negeri. Sebaik-baiknya, borang diisi dan dihantar paling awal tiga bulan sebelum bernikah.

Mengikut aturan, pihak lelaki perlu mengisi dan menghantar dahulu borang permohonan nikah ke Penolong Pendaftar Nikah di Pejabat Agama Negeri tempat bermastautin, disertai dengan dokumen-dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan, surat pengesahan bujang (pilihan), surat persetujuan isteri pertama (jika berkahwin lagi), sijil menghadiri kursus dan lain-lain. Selepas mendapat pengesahan, borang tadi diberikan kepada bakal isteri untuk dihantar ke Pejabat Agama Negeri tempat bakal isteri bermastautin bersama-sama borang permohonan daripada bakal isteri. Bakal isteri perlu menghantar tambahan salinan kad pengenalan wali dan dua orang saksi.

4. Ujian HIV
Setiap pasangan yang bakal berkahwin telah diwajibkan untuk menjalani ujian HIV sebelum bernikah. Ini untuk mengetahui status HIV masing-masing, sebagai usaha mengurangkan kadar HIV seluruh negara. Ujian HIV boleh dijalankan di Klinik-klinik Kesihatan utama di setiap daerah ataupun sesetengah hospital. Borang saringan ujian HIV akan diberikan Pejabat Agama Negeri dan keputusan ujian akan dimaklumkan kepada bakal pengantin.

Ujian HIV bukanlah penghalang kepada sebuah perkahwinan. Walaupun keputusan HIV anda positif, anda masih boleh memohon kebenaran berkahwin dengan memenuhi syarat-syarat tertentu seperti menghadiri sesi kaunseling dan memaklumkan keputusan kepada bakal pasangan. Keputusan tidak perlu dimaklumkan kepada keluarga ataupun orang lain. Semasa sesi kaunseling, anda dan pasangan akan diajar teknik mencegah penyebaran HIv. Selain ujian HIV, bakal pengantin turut digalakkan menjalani ujian kesihatan menyeluruh dan ujian genetik terutamanya thalessemia.

5. Wali dan saksi
Dalam Islam, pernikahan yang sah perlu mendapat kebenaran wali dan pengesahan dua orang saksi lelaki. Wali yang diutamakan adalah bapa kandung yang sah bagi pihak perempuan, jika tiada, datuknya di sebelah bapa, ataupun adik-beradik lelaki seibu sebapa dan turutan seterusnya (boleh ditanya kepada ustaz atau ustazah). Wali perlu hadir ketika majlis pernikahan, dan boleh menikahkan sendiri anak perempuannya ataupun diwakilkan kepada Penolong Pendaftar Nikah. Penolong Pendaftar Nikah adalah wakil daripada Pejabat Agama Negeri, dan beliau wajib hadir untuk mengesahkan pernikahan, membacakan khutbah nikah dan menguruskan dokumen selepas pernikahan. Penolong Pendaftar Nikah perlu ditempah dan dimaklumkan awal supaya dapat hadir semasa majlis pernikahan.

Selain wali dan Penolong Daftar Nikah, pihak bakal isteri juga perlu menyediakan dua orang saksi lelaki yang sah. Sebagai menghormati adat, saksi biasanya dipilih dari kalangan bapa saudara sebelah bapa ataupun ibu. Boleh juga meminta adik-beradik lelaki yang lebig tua untuk menjadi saksi. Yang penting, mereka perlu hadir dan mendengar akad dilafazkan dengan jelas.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



loading...

Tentang Blog

Blog ini menyediakan tips-tips persediaan dan persiapan majlis perkahwinan. Sebarang cadangan, kritikan dan pandangan amat-amatlah dialu-alukan.

Iklan Premium

Iklan Premium

Strategi Kahwin Kaya

Entri Popular

Entri Terkini

Iklan Premium

Statistik Pelawat

Copyright (C) tipspersiapanmajlisperkahwinan. Powered by Blogger.