Cerita Tentang Perancang Perkahwinan

Jika anda hanya mempunyai jumlah bajet yang kecil untuk persiapan majlis perkahwinan, anda mungkin perlu melakukan semua kerja-kerja yang dirancang dan jika bernasib baik, keluarga dan rakan-rakan mungkin membantu. Tetapi, jika anda mempunyai bajet yang lebih, anda mungkin boleh berkira-kira untuk menggunakan khidmat perancang majlis perkahwinan. Kebiasaannya, perancang majlis perkahwinan bukan sahaja akan memudahkan kerja-kerja persiapan majlis perkahwinan, bahkan akan menjadi jururunding antara anda dan ibubapa jika ada sesetengah perkara yang tidak dipersetujui.

Di samping sesuai untuk mereka yang mempunyai bajet yang lebih, mengambil khidmat perancang majlis perkahwinan profesional juga adalah sesuai untuk pasangan-pasangan yang berikut:
1. Sentiasa sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa melakukan persiapan majlis perkahwinan
2. Kerja yang memerlukan tumpuan penuh dan sentiasa tertekan
3. Sentiasa perlu merantau jauh atas dasar kerja
4. Lokasi majlis perkahwinan yang jauh dari tempat tinggal sekarang
5. Tidak mahu menyusahkan dan membebankan keluarga dengan kerja-kerja persiapan majlis perkahwinan
6. Mahukan sentuhan profesional untuk majlis perkahwinan idaman yang sempurna

Bergantung kepada pakej yang ditawarkan, anda boleh memilih untuk mengambil khidmat perancang perkahwinan bagi melaksanakan tugas-tugas persiapan bermula dari awal lagi sehingga berakhirnya majlis, ataupun hanya pada hari majlis perkahwinan sahaja untuk membantu kelancaran majlis. Sudah semestinya memilih pilihan kedua adalah lebih murah berbanding pilihan pertama. Walau apa pun pakej yang anda pilih, sebaik-baiknya buat tempahan awal dengan perancang majlis perkahwinan yang anda ingini, supaya tidak terlepas kepada orang lain.

Apabila seorang perancang majlis perkahwinan ditugaskan untuk melakukan semua tugasan, anda bukan sahaja akan mendapatkan sentuhan seorang profesional, malahan dapat menjimatkan kos dalam beberapa perkara. Ini kerana perancang perkahwinan kebiasaannya mudah mendapatkan diskaun istimewa daripada pembekal-pembekal yang dikenalinya. Tambahan lagi, pembekal-pembekal tersebut sudah semestinya telah dikenalinya dan dipercayai akan memberikan khidmat yang terbaik untuk anda. Perkara ini amat dititikberatkan oleh seorang perancang majlis perkahwinan demi menjaga nama baik dan reputasinya.

Seorang perancang majlis perkahwinan yang baik akan menyediakan anda dengan pelbagai pilihan dan nasihat untuk membantu anda menjayakan sebuah majlis perkahwinan idaman. Perancang perkahwinan akan mengadakan persiapan majlis perkahwinan mengikut bajet yang anda tetapkan, mencadangkan alternatif lain untuk lebih penjimatan, mengenalpasti lokasi yang sesuai, memberi cadangan aturcara majlis perkahwinan dan juga menyediakan hiasan mengikut tema yang anda putuskan. Ketika majlis perkahwinan pula, perancang perkahwinan akan bertugas sebagai ketua aturcara untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan baik mengikut jadual.

Dalam memilih perancang perkahwinan yang profesional dan baik, anda boleh melakukan kajian dalam Internet ataupun melawat ke kedai-kedai mereka. Perancang perkahwinan yang baik biasanya:
1. Mempunyai laman web yang kemas dan sentiasa dikemaskini
2. Mempunyai kedai yang cantik dan kemas
3. Mempunyai kakitangan dan peralatan yang mencukupi
4. Mempunyai sijil kelayakan atau latihan dalam bidang berkaitan
5. Tidak meminta bayaran penuh sebelum memulakan kerja
6. Hanya meminta bayaran pendahuluan minimum
7. Baki bayaran boleh boleh dibuat secara ansuran untuk setiap kerja yang diselesaikan ataupun sekaligus selepas majlis selesai
8. Menandatangani surat perjanjian dengan pelanggan untuk memastikan hak-hak pelanggan terjaga
9. Mempunyai maklumbalas yang baik daripada pelanggan-pelanggan sebelumnya

Mendapatkan khidmat perancang perkahwinan hanyalah satu pilihan. Jika tidak mampu, dengan kebijaksanaan anda merancang, dan dengan bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan, anda masih boleh mempunyai sebuah majlis perkahwinan yang indah.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



0 comments:

Post a Comment

loading...

Tentang Blog

Blog ini menyediakan tips-tips persediaan dan persiapan majlis perkahwinan. Sebarang cadangan, kritikan dan pandangan amat-amatlah dialu-alukan.

Iklan Premium

Iklan Premium

Strategi Kahwin Kaya

Entri Popular

Iklan Premium

Statistik Pelawat

Copyright (C) tipspersiapanmajlisperkahwinan. Powered by Blogger.