Showing posts with label bajet kahwin. Show all posts
Showing posts with label bajet kahwin. Show all posts

Tips Bajet Persiapan Majlis Perkahwinan

1. Kenalpasti kemampuan
Ukur baju di badan sendiri. Pastikan anda tahu berapa banyak wang yang anda ada, dan berapa banyak anda sanggup belanjakan untuk persiapan majlis perkahwinan. Elakkan berhutang untuk memenuhi majlis perkahwinan impian. Simpan sedikit baki wang yang ada untuk persiapan memulakan kehidupan selepas berkahwin nanti. Perbelanjaan selepas berkahwin biasanya akan meningkat berbanding semasa bujang; anda mungkin perlu berpindah rumah, membayar sewa yang lebih mahal, perjalanan yang lebih jauh ke tempat kerja dan lain-lain.

2. Kenalpasti majlis perkahwinan idaman
Berbincanglah dengan pasangan dan keluarga berkenaan bentuk perkahwinan yang diidamkan. Nyatakan jumlah bajet yang anda sanggup keluarkan. Berbincanglah dari segi tema majlis perkahwinan, jumlah hantaran, bilangan hantaran, jumlah tetamu, makanan dan persiapan-persiapan lain. Dapatkan pendapat dari keluarga dan rakan-rakan berkenaan pilihan persiapan majlis perkahwinan anda.

3. Senarai dan kajian kos
Senaraikan semua perkara dan barang keperluan yang perlu disiapkan untuk majlis perkahwinan kelak. Kaji dan kira jumlah kos setiap yang disenaraikan. Ambil kira juga kos-kos tersembunyi dan perbelanjaan-perbelanjaan kecil diluar jangka seperti pengangkutan, tol dan sebagainya. Pastikan jumlah kos yang dikira tidak tersasar jauh daripada jumlah bajet yang akan diperuntukkan.

4. Tentukan siapa yang bayar
Jika majlis perkahwinan diadakan serentak untuk kedua-dua pengantin lelaki dan wanita, semestinya banyak perbelanjaan dapat dijimatkan. Perkara ini biasanya dilakukan oleh pasangan pengantin yang tinggal berdekatan. Oleh itu, jika anda merancang melakukan sebegini, berbincanglah dengan pasangan tentang siapa yang bayar untuk itu dan ini. Jika ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang ingin menyumbang wang atau penaja, catatkan nama dan jumlah tajaan mereka dalam senarai bajet yang anda telah buat.

5. Pengurusan kewangan
Setiap bakal pengantin harus mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang baik, yang mana melibatkan pengurusan pendapatan, hutang dan perbelanjaan. Setiap orang harus mempunyai bajet bulanan, dan cuba berbelanja tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Setiap perbelanjaan harian perlu dicatatkan untuk mengetahui aliran keluar wang anda. Di samping itu, minimum 10% daripada jumlah pendapatan yang diperoleh haruslah disimpan bukan sahaja sebagai persiapan majlis perkahwinan, bahkan untuk masa depan. Sedaya-upaya mungkin, cubalah mencari peluang menambahkan pendapatan dengan melakukan kerja-kerja sampingan ataupun berniaga kecil-kecilan. Dengan menguruskan kewangan dengan baik, anda boleh berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan ini akan menambahkan jumlah tabungan untuk persiapan majlis perkahwinan kelak.

6. Kaji dan bandingkan harga
Untuk setiap perkara persiapan majlis perkahwinan, cuba buat kajian pasaran ke atas pilihan-pilihan yang ada. Cari dua atau tiga pembekal untuk setiap yang perkara yang diingini, bandingkan harga, kaji tawaran yang diberi dan buatlah pilihan yang bijak. Dengan ini, anda dapat memilih persiapan majlis perkahwinan yang hebat pada harga yang terbaik.

7. Kejar 'Jualan Murah'
Di Malaysia, kita sebenarnya beruntung kerana terdapat banyak perayaan yang disambut. Dan kebiasaannya, semasa musim perayaan, banyak tawaran jualan murah yang diadakan. Begitu juga semasa awal dan akhir tahun, banyak penjual akan mengadakan jualan murah untuk menarik pembeli. Oleh itu, amatlah rugi jika anda tidak mengambil kesempatan jualan murah yang ada untuk mendapatkan barang-barang persiapan majlis perkahwinan anda. Di samping semasa jualan murah, anda juga boleh mengambil kesempatan mendapatkan harga murah di festival pengantin yang banyak diadakan di seluruh negara.

8. Rekod perbelanjaan
Untuk setiap perbelanjaan yang dilakukan untuk persiapan majlis perkahwinan anda, sebaik-baiknya catat dan simpan semua resit sehinggalah tamat majlis perkahwinan nanti. Perbelanjaan yang direkodkan akan membantu anda mengawal bajet dari semasa ke semasa; anda boleh melakukan penjimatan ataupun menambah peruntukan jika perbelanjaan hampir melebihi bajet awal yang ditetapkan. Resit-resit yang disimpan pula akan membantu anda untuk menuntut gantirugi jika ada mana-mana pembekal yang tidak menunaikan janji dengan sepenuhnya.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Mengumpul Bajet Untuk Persiapan Majlis Perkahwinan

Pada masa sekarang, untuk mengadakan sesebuah majlis perkahwinan, sejumlah peruntukan yang besar diperlukan. Jika pada masa dahulu, kebanyakan kos persiapan majlis perkahwinan ditanggung oleh ibubapa, ataupun dikerjakan secara gotong-royong oleh orang-orang kampung, tetapi sekarang sebahagian besarnya perlu ditanggung sendiri oleh bakal pasangan pengantin. Ini sememangnya sesuatu yang membebankan bagi bakal pengantin yang majoritinya terdiri daripada golongan muda yang baru bekerja.

Boleh dikatakan yang pihak lelaki perlu memperuntukkan jumlah bajet yang lebih besar berbanding perempuan untuk persiapan majlis perkahwinan. Ini kerana, pihak perempuan hanya perlu berbelanja besar untuk kenduri perkahwinan sahaja; sedikit untuk hantaran dan lain-lain seperti pelamin, set baju, jurusolek dan jurugambar. Tambahan lagi, semasa kenduri, pihak perempuan boleh 'mengutip' wang daripada para tetamu yang datang.

Berbeza dengan pihak lelaki yang bukan sahaja perlu menyediakan bajet yang besar untuk kenduri perkahwinan, tetapi perlu juga menyediakan wang hantaran yang kadang-kadang nilainya sangat membebankan. Walaupun sekadar adat, jumlah wang hantaranlah yang sering menjadi buah mulut orang; terlalu sedikit akan diumpat kedekut, terlalu tinggi akan dikata ingin menunjuk-nunjuk. Namun di sinilah sebenarnya cabaran kepada seorang lelaki, adakah mereka mampu menyediakan wang yang secukupnya untuk membiayai majlis perkahwinan sendiri.

Sebagai panduan, empat langkah yang berikut perlu diamalkan oleh bakal pengantin lelaki mahupun perempuan untuk membantu mengurus kewangan sendiri dan seterusnya mengumpul bajet untuk persiapan majlis perkahwinan:

1. Mengawal perbelanjaan
Langkah pertama dalam mengumpul bajet persiapan majlis perkahwinan adalah dengan mengawal perbelanjaan seharian, seterusnya mingguan dan bulanan. Sebaik-baiknya, setiap orang mempunyai bajet bulanan sendiri, dan cuba sedaya upaya mematuhi bajet yang dibuat. Untuk menghasilkan bajet bulanan, anda perlulah terlebih dahulu mengetahui tentang aliran wang masuk dan keluar bulanan. Caranya, dengan mencatat segala jenis pendapatan dan perbelanjaan yang anda lakukan dalam tempoh sebulan.

Setelah mencatat semuanya, cuba perhatikan samaada anda ada membuat sebarang simpanan atau tidak? Jika tiada, anda sepatutnya cuba menyimpan sedikit wang terlebih dahulu, sebelum sebarang perbelanjaan dibuat. Cuba perhatikan juga jika baki bulanan anda adalah positif atau negatif? Jika positif, itu petanda yang baik kerana simpanan anda akan sentiasa bertambah. Tetapi, jika negatif, simpanan anda akan sedikit demi sedikit terhakis ataupun tiada langsung. Sekiranya ini yang terjadi, anda perlulah mengawal perbelanjaan dengan membuat bajet bulanan. Bajet bulanan boleh dibuat berdasarkan kepada pendapatan dan perbelanjaan yang anda catat tadi. Cuba untuk kurangkan sebarang perbelanjaan yang tidak perlu supaya baki bulanan mencatat nilai positif.

2. Mengurus hutang
Sebagai pasangan muda yang bakal berkahwin, anda kebiasaannya akan mempunyai tiga hutang yang utama; pinjaman pelajaran, sewa-beli kereta dan caj kad kredit. Setiap bulan, anda mungkin perlu memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membayar hutang-hutang ini. Bagaimana ingin mengawalnya? Jawapannya, cuba kurangkan mana yang boleh. Contohnya, hutang kereta, jika anda masih belum mempunyai kereta dan inginkan kereta, cuba beli kereta berkapasiti kecil ataupun 'second-hand', apabila sudah mampu kelak, bolehlah mendapatkan kereta impian yang loebih besar dan baru. Jika anda mempunyai lebih dari satu kad kredit, cuba selesaikan hutang kad kredit yang mempunyai caj paling mahal, tamatkan yang lain dan gunakan satu sahaja kad kredit. Untuk semua jenis hutang, elakkan tidak membayar ataupun membayar jumlah minimum sahaja. Ini akan menyebabkan jumlah hutang akan semakin bertambah disebabkan kadar faedah yang dikenakan.

3. Menambah pendapatan
Untuk mengumpul wang persiapan majlis perkahwinan dengan lebih pantas, cara terbaik dalah dengan menambah pendapatan. Sebagai seorang bujang, anda semestinya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan kerja lebih masa di tempat kerja anda supaya mendapat elaun kerja lebih masa yang mana kadarnya dibayar lebih tinggi berbanding waktu kerja biasa. Ataupun, anda boleh lakukan kerja-kerja sampingan seperti berniaga dan mengambil upah melakukan kerja-kerja yang anda mahir. Jika anda bijak merebut peluang, pendapatan sampingan mungkin boleh melebihi pendapatan kerja tetap anda.Dalam e-buku Mas Kahwin Yang Hilang, ada diceritakan tentang bagaimana seorang lelaki mengumpul RM 5,000.00 dengan hanya berdiri beberapa jam. Baca e-buku tersebut dan cuba tiru apa yang dilakukan lelaki tersebut.

4. Melakukan penjimatan
Langkah keempat ini adalah kesinambungan kepada langkah yang pertama di atas. Setelah mengenalpasti perbelanjaan yang sering dilakukan, asingkan setiap perbelanjaan kepada kumpulan perbelanjaan tetap dan bolehubah. Perbelanjaan tetap biasanya tidak berubah dan memenuhi komitmen sepenuhnya setiap bulan, seperti membayar hutang, sewa rumah dan insurans. Anda mungkin tidak mempunyai peluang untuk berjimat daripada perbelanjaan tetap.

Perbelanjaan bolehubah sering berubah-ubah, dan terbahagi kepada keperluan dan kehendak. Contoh perbelanjaan bolehubah keperluan adalah makanan, pakaian, minyak kereta, bili-bil utiliti dan keperluan rumah. Manakala, perbelanjaan bolehubah kehendak lebih kepada perbelanjaan yang dikeluarkan untuk keseronokan dan kepuasan diri-sendiri, seperti makan di restoran mahal, pakaian berjenama mahal dan hiburan berlebihan. Untuk mengumpul lebih banyak wang persiapan majlis perkahwinan, anda boleh berjimat untuk mengurangkan perbelanjaan bolehubah. Ubahlah kepada gaya hidup lebih sederhana untuk menjimatkan wang dan menambahkan simpanan. Banyak tips penjimatan yang boleh anda cari dan amalkan.

Kesimpulannya, mengumpul wang untuk persiapan majlis perkahwinan adalah merupakan pengajaran pertama untuk pihak lelaki (dan perempuan) dalam mengurus dan mengawal kewangan sendiri. Ilmu dan pengalaman yang ditimba dalam proses ini semestinya akan berguna untuk menghadapi cabaran kewangan yang lebih getir selepas berkahwin kelak.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Panduan Ringkas Merancang Bajet Persiapan Majlis Perkahwinan

Perkara yang paling utama yang perlu dilakukan apabila anda bersedia untuk memulakan persiapan majlis perkahwinan anda adalah merancang bajet terlebih dahulu. Merangka bajet sangat penting kerana adalah mustahil untuk mengawal berapa banyak yang anda boleh belanjakan untuk setiap perkara berkaitan persiapan majlis perkahwinan jika anda tidak menetapkan sebarang had perbelanjaan.

Untuk kebanyakan bakal pengantin baru, merangka bajet adalah perkara yang sukar kerana masing-masing pastinya mengidamkan sebuah majlis perkahwinan yang meriah dengan jumlah perbelanjaan yang mampu ditampung. Hari-hari yang mana ibubapa menanggung sepenuhnya perbelanjaan majlis perkahwinan anak-anak telah lama berlalu. Pada zaman sekarang, ibubapa hanya menampung sebahagian perbelanjaan sebagai hadiah kepada pasangan pengantin baru, dan bukan lagi menampung sepenuhnya. Tambahan lagi, kebanyakan pasangan pengantin ingin menampung sendiri perbelanjaan majlis perkahwinan supaya memudahkan mereka mengawal apa yang dikehendaki dan sebagai bukti yang mereka boleh berdikari selepas berumahtangga.

Oleh kerana kebanyakan bakal pengantin kini menampung sendiri perbelanjaan majlis perkahwinan mereka, adalah sangat baik jika mereka dapat mengawal sendiri ke mana wang mereka perlu dibelanjakan. Untuk langkah pertama, bakal pengantin perlulah mengetahui jumlah wang yang mereka ada, dan berapa banyak yang mereka sanggup korbankan untuk sebuah majlis perkahwinan. Segala wang yang berada di tangan, dalam akaun simpanan dan yang bakal diperoleh sebelum majlis perkahwinan berlangsung perlulah dikira dan dicatat.

Setelah mengetahui berapa banyak wang yang ada, wang tersebut boleh diagihkan untuk perbelanjaan-perbelanjaan utama yang berikut:
1. Pra-perkahwinan - kursus perkahwinan, borang nikah, ujian HIV
2. Kenduri kahwin - makanan, kerusi, meja, khemah, dewan, 'goodies'
3. Hantaran kahwin - maskahwin, barang-barang hantaran, wang hantaran
4. Majlis perkahwinan - kad kahwin, set pakaian, perabot, pelamin, hiasan bilik tidur
5. Perkhidmatan - jurusolek, mak andam, jurugambar, juruvideo
6. Selepas majlis - bulan madu, hadiah untuk keluarga
7. Lain-lain - kenderaan, tempat penginapan terutama jika jarak antara pasangan adalah jauh

Jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan kepada setiap perkara di atas perlulah diagihkan berdasarkan jumlah keseluruhan wang yang ingin anda belanjakan. Kebiasaannya, sebahagian besar wang akan diperuntukkan untuk menampung perbelanjaan kenduri dan hantaran kahwin berbanding yang lain. Dalam adat perkahwinan Melayu, pihak pengantin perempuan biasanya membelanjakan wang yang lebih banyak untuk kenduri kahwin, manakala pihak lelaki lebih banyak kepada hantaran kahwin. Secara keseluruhannya, pihak lelaki akan memerlukan jumlah wang yang lebih besar berbanding pihak pengantin perempuan.

Setelah mengagihkan peruntukan kepada setiap perbelanjaan utama, sebaik-baiknya bina sebuah jadual senarai perbelanjaan. Jadual ini mempunyai minimum tiga kolum; kolum pertama untuk perkara perbelanjaan, kolum kedua untuk anggaran perbelanjaan dan yang ketiga untuk perbelanjaan sebenar. Setiap kali anda mengeluarkan duit untuk menyelesaikan setiap perkara, catatkan jumlah sebenar yang anda keluarkan. Dengan cara ini, anda dapat mengawal perbelanjaan dengan lebih baik, di samping membantu mengesan sebarang pembaziran ataupun penjimatan.

Dengan merancang bajet sebegini, walau dengan jumlah peruntukan yang kecil, anda masih boleh mendapatkan sebuah majlis perkahwinan yang indah dan meriah. Pastikan setiap perbelanjaan yang anda keluarkan adalah setimpal dengan apa yang anda bakal perolehi. Elakkan pembaziran pada perkara-perkara yang tidak perlu. Bajet yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik akan memastikan kedudukan kewangan yang stabil untuk anda dan pasangan nanti. Harus diingat, majlis perkahwinan hanyalah permulaan kepada lebih banyak cabaran rumahtangga selepas anda bernikah.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan


Tips Merancang Bajet Persiapan Majlis Perkahwinan

Sebuah majlis perkahwinan mungkin akan menjadi suatu beban perbelanjaan yang besar terhadap pasangan baru berkahwin dan juga ibubapa pasangan tersebut jika tiada sebarang perancangan dan bajet sistematik ditetapkan. Biasanya, akan banyak perbelanjaan yang tidak disangka perlu dikeluarkan untuk menampung persiapan majlis perkahwinan. Malah, pembaziran juga akan berlaku kerana membeli perkara-perkara yang tidak perlu jika tiada bajet ditetapkan. Tanpa perancangan kewangan yang rapi juga, pasangan pengantin baru mungkin akan menghadapi masalah kewangan yang serius yang boleh berlanjutan untuk tempoh yang lama. Jadi, amatlah penting untuk terlebih dahulu merangka bajet persiapan majlis perkahwinan. Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan dalam merancang bajet persiapan majlis perkahwinan:

1. Tentukan perkara-perkara dan barang-barang utama yang diperlukan, senaraikan dan usah berasa ragu untuk menyingkirkan perkara-perkara yang tidak penting. Berbincanglah dengan bakal pasangan tentang keperluan untuk majlis perkahwinan nanti. Tetapkan tema, persalinan, hantaran dan maskahwin bersama-sama.

2. Pada peringkat awal, jangan beranggapan yang orang lain akan memberi bantuan kewangan kepada anda. Tidak kiralah samaada daripada ibubapa, keluarga ataupun rakan. Sebaik-baiknya, rancang perbelanjaan untuk menggunakan wang anda sendiri terlebih dahulu. Dengan cara ini, anda dapat mengelakkan sebarang ketidaktentuan di saat-saat akhir persiapan majlis perkahwinan anda nanti.

3. Jika ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang menawarkan untuk memberi sumbangan kewangan, mungkin wang tersebut boleh digunakan kemudian untuk menampung perkara-perkara sampingan atau tidak dijangka. Usah terlalu berharap untuk mendapat bantuan, mungkin pemberi membatalkan hasrat mereka jika berlaku perkara-perkara tidak diingini seperti kemalangan, sakit ataupun keperluan lain yang lebih mendesak. Jika ini berlaku, anda yang akan susah nanti.

4. Berbincang dan dapatkan pandangan daripada yang lain. Ahli keluarga atau rakan-rakan anda mungkin mempunyai pengalaman merancang persiapan majlis perkahwinan, dan mereka pastinya mengetahui mana-mana pembekal atau kedai yang menawarkan harga istimewa. Mereka juga boleh memberi idea untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan anda nanti.

5. Buat sedikit kajian sebelum membeli-belah barang-barang keperluan majlis perkahwinan anda. Selain daripada segi harga, teliti juga daripada segi perkhidmatan yang mereka tawarkan. Jika ada festival atau pameran pengantin berdekatan tempat anda, jangan lupa untuk pergi. Di samping memudahkan anda untuk melakukan kajian kerana semuanya di bawah satu bumbung, anda juga akan ditwarkan dengan pelbagai tawaran dan diskaun yang menarik.

6. Sebagai langkah terakhir, anda dan pasangan mungkin perlu memohon pembiayaan peribadi. Sebaik-baiknya, cuba untuk elakkan perkara ini. Namun, jika tiada pilihan, beberapa perkara tersebut mungkin perlu dititikberatkan:
- Adakah pinjaman wang sangat-sangat diperlukan untuk persiapan majlis perkahwinan? Adakah masih ada cara lain?
- Berapa banyak wang yang perlu dipinjam? Berapa lama tempoh bayaran yang diingini?
- Adakah anda mampu menampung beban bayaran bulanan untuk tempoh yang panjang?
- Adakah beban tambahan ini akan menjejaskan perancangan kewangan anda yang lain?
- Adakah beban pinjaman akan menjejaskan hubungan dengan pasangan dan keluarga?
- Apakah pilihan pinjaman yang ada? Skim pinjaman manakah yang terbaik?
- Adakah dengan wang tambahan ini akan memeriahkan lagi majlis perkahwinan nanti?

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Perkara-perkara Wajib Ada Untuk Persiapan Majlis Perkahwinan


 1. Bajet
Sebelum memulakan persiapan majlis perkahwinan, tetapkan dahulu berapa banyak bajet yang diperlukan dan yang anda sanggup keluarkan. Rancang bajet dengan sebaik-baiknya. Berbincang dengan pasangan dan rangka draf perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk persiapan majlis perkahwinan. Bincangkan juga tentang sumber bajet agar semuanya boleh disediakan.

2. Prosedur pernikahan
Borang nikah, kadi, wali, saksi, ujian HIV, kursus kahwin, mas kahwin dan dokumen-dokumen berkaitan; pastikan anda dan pasangan tahu apa yang perlu dilakukan dan dipersiapkan untuk memenuhi semua syarat prosedur pernikahan yang ditetapkan Jabatan Agama Negeri. Setiap negeri mungkin mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Rancang bila dan tempoh yang sesuai untuk melaksanakan semua prosedur yang dikehendaki. Sebaik-baiknya, mulakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh majlis pernikahan.

3. Makanan untuk majlis kenduri
Kebiasaannya, banyak belanja diperlukan untuk mempersiapkan makanan untuk majlis kenduri. Anda boleh memilih samaada untuk memasak sendiri pada hari majlis, ataupun menempah dengan katerer. Anda mungkin boleh berjimat dengan memasak sendiri, namun banyak perkara perlu dipersiapkan terutama dalam penyediaan bahan-bahan masakan. Tentukan menu dan kuantiti hidangan yang sesuai untuk majlis kenduri nanti. Sebaik-baiknya, mulakan persiapan dalam tempoh tiga bulan sebelum majlis.

4. Kanopi dan set kenduri
Kanopi, kerusi, meja, pinggan, mangkuk dan set menghidang; pastikan anda tahu dengan siapa dan bagaimana untuk dapatkan semua keperluan tersebut. Jika menempah makanan dengan katerer, mereka mungkin turut menyediakan semua keperluan ini. Jika tidak, anda perlu dapatkan dari penyedia perkhidmatan ini. Senaraikan dahulu barang-barang yang diperlukan, jangan sampai tertinggal perkara-perkara yang kecil seperti sudu, garfu dan bekas air.

5. Kad jemputan kahwin
Kad jemputan kahwin adalah medium utama untuk menjemput tetamu ke majlis perkahwinan anda. Untuk menempah kad jemputan kahwin, sebaik-baiknya dilakukan tiga bulan sebelum majlis perkahwinan. Ingat, kad perlu diedar dalam tempoh sebulan sebelum majlis, jadi pastikan anda boleh memastikan kad siap sebelum diedarkan. Kad boleh ditempah di kedai-kedai berhampiran tempat anda. Untuk lebih mudah lagi, tempah sahaja secara 'online'.

6. Set pengantin
Set pengantin merangkumi pelamin, meja beradap, hiasan bilik tidur dan juga busana pengantin. Anda boleh mengambil pakej lengkap yang menyediakan semuanya. Seleok-eloknya, tempah awal supaya anda mempunyai lebih banyak pilihan.

7. Jurugambar
Rugi sekiranya kenangan indah majlis perkahwinan tidak diabadikan dalam bentuk gambar. Di sinilah pentingnya mendapatkan khidmat seorang jurugambar profesional untuk merakamkan kenangan majlis anda. Jika ada bajet lebih, boleh dapatkan juga khidmat videografer. Pada masa sekarang, ramai yang menyediakan kedua-dua pakej video dan gambar. Semuanya bergantung kepada pilihan dan bajet anda.

8. Hantaran perkahwinan
Tentukan berapa bilangan hantaran perkahwinan yang akan disediakan oleh setiap pasangan. Mengikut adat Melayu, biasanya bilangan hantaran perkahwinan adalah bernombor ganjil, dan bilangan yang diberikan pengantin perempuan melebihi bilangan yang diberikan pengantin lelaki. Namun, tidak salah jika ingin memberikan bilangan yang sama. Untuk gubahan hantaran perkahwinan, anda mungkin boleh lakukan sendiri. Banyak video panduan yang boleh anda tonton. Jika ada bajet lebih, upah sahaja orang lain untuk melakukannya.

9. Ole-ole tetamu
Seperkara lagi yang perlu ada untuk persiapan majlis perkahwinan adalah ole-ole untuk tetamu. Ini sebagai tanda cenderahati untuk para tetamu yang sudi hadir memeriahkan majlis perkahwinan anda.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



loading...

Tentang Blog

Blog ini menyediakan tips-tips persediaan dan persiapan majlis perkahwinan. Sebarang cadangan, kritikan dan pandangan amat-amatlah dialu-alukan.

Iklan Premium

Iklan Premium

Strategi Kahwin Kaya

Entri Popular

Iklan Premium

Statistik Pelawat

Copyright (C) tipspersiapanmajlisperkahwinan. Powered by Blogger.