Tips Persiapan Majlis Perkahwinan: Panduan Menetapkan Tarikh

Dalam merancang persiapan majlis perkahwinan, antara langkah awal yang perlu dilakukan adalah menetapkan tarikh supaya segala perancangan dapat disusun mengikut tempoh waktu yang ada. Sesetengah pasangan mungkin menetapkan sendiri tarikh mereka, sebelum memaklumkan kepada kedua ibubapa, kerana ini akan memudahkan mereka menyusun jadual mereka terutamanya jika kedua-duanya bekerja. Ada juga pasangan yang meminta kedua-dua ibubapa untuk duduk berbincang dan menetapkan tarikh yang sesuai. Tarikh ini meliputi tarikh pernikahan, majlis kenduri di pihak perempuan dan di pihak lelaki. Boleh saja jika hendak digabungkan beberapa majlis serentak.

Untuk menetapkan tarikh majlis perkahwinan, persetujuan kedua-dua pihak perlulah diperoleh dengan mengambil kira beberapa faktor penting. Kebiasaannya, tarikh majlis perkahwinan akan dibincangkan dan ditetapkan semasa majlis pertunangan, jadi pasangan boleh melakukan persiapan majlis perkahwinan sebaik sahaja selesai majlis pertunangan. Beberapa faktor yang perlu diberi perhatian semasa menetapkan tarikh majlis perkahwinan adalah:

1. Persetujuan yang lain
Perlu juga mendapatkan persetujuan majoriti daripada ahli keluarga terdekat seperti adik-beradik dan saudara-mara berkenaan tarikh yang ingin dipilih. Ini kerana mereka adalah tulang belakang majlis perkahwinan anda nanti; mereka akan mengiringi anda ke rumah pasangan dan juga membantu ketika majlis di pihak anda. Mungkin ada ahli keluarga yang perlu mengambil cuti ketika majlis perkahwinan anda. Mungkin ada yang telah merancang sesuatu yang lain pada waktu tersebut. Jadi, amatlah penting untuk memberi perhatian tentang perkara-perkara sebegini. Tidak perlu kepada persetujuan semua, cukuplah persetujuan majoriti.

2. Hari cuti
Kebanyakan orang suka mengadakan majlis perkahwinan semasa cuti sekolah kerana memudahkan ahli keluarga untuk berhimpun bersama-sama. Namun, oleh kerana jemputan majlis perkahwinan yang banyak, kadang-kadang menyukarkan tetamu terutama dari jauh untuk menghadiri majlis perkahwinan anda. Di samping itu, anda juga akan mendapati yang bayaran untuk perkhidmatan majlis perkahwinan seperti makanan, khemah, jurugambar dan set pelamin menjadi mahal. Bukan setakat itu, kualiti perkhidmatan yang diberi juga mungkin tidak setimpal kerana mereka penat memenuhi permintaan pelanggan yang ramai.

Alternatif yang lain adalah mengadakan majlis perkahwinan pada hari cuti biasa, seperti cuti hujung minggu ataupun cuti umum. Anda akan lebih mudah untuk memilih dan mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik. Tetapi, anda harus bersedia, kerana biasanya bilangan tetamu yang hadir mungkin akan melebihi jangkaan awal.

3. Faktor cuaca
Cuaca hujan dan buruk akan mengurangkan kemeriahan majlis perkahwinan anda. Jadi, cubalah untuk menetapkan tarikh majlis perkahwinan di luar musim hujan. Bagi di sebelah barat Semenanjung Malaysia, mungkin tidak menjadi masalah kerana tiada musim tengkujuh dan hujan hanya kadang-kadang di waktu petang. Bagi di sebelah timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, cubalah untuk elakkan musim tengkujuh. Jika tiada pilihan, buatlah majlis pernikahan terlebih dahulu, dan tangguhkan kenduri perkahwinan ke tarikh lain.

4. Tarikh yang cantik
Sesetengan orang mempunyai impian untuk berkahwin pada hari yang mempunyai tarikh yang cantik, seperti 13.03.13 ataupun 14.04.14. Tidak salah, asalkan saja tarikh tersebut jatuh pada hari dan waktu yang sesuai. Lagipun, memilih tarikh sebegini akan memudahkan anda dan pasangan untuk mengingati ulang tahun perkahwinan.

5. Bulan Ramadhan
Dinasihatkan supaya tidak melangsungkan perkahwinan dekat dengan bulan Ramadhan. Ini kerana, dalam bulan tersebut, suami isteri dilarang melakukan hubungan intim pada waktu siang (dibolehkan pada waktu malam). Larangan tidak melangsungkan perkahwinan dekat dengan bulan yang mulia ini untuk mengelakkan pasangan pengantin baru tidak dapat menahan gelojak nafsu fitrah mereka sehingga menjejaskan amalan puasa dan dikenakan denda kifarah.

6. Jurunikah dan saksi
Tanyakan juga kepada jurunikah dan saksi-saksi anda. Jika perlu, ubah tarikh pernikahan untuk memudahkan jurunikah untuk hadir. Maklumlah, seorang jurunikah mungkin perlu ke sana ke mari untuk memenuhi permintaan orang.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



0 comments:

Post a Comment

loading...

Tentang Blog

Blog ini menyediakan tips-tips persediaan dan persiapan majlis perkahwinan. Sebarang cadangan, kritikan dan pandangan amat-amatlah dialu-alukan.

Iklan Premium

Iklan Premium

Strategi Kahwin Kaya

Entri Popular

Iklan Premium

Statistik Pelawat

Copyright (C) tipspersiapanmajlisperkahwinan. Powered by Blogger.