Panduan Menetapkan Lokasi Majlis Perkahwinan

Mungkin sekarang anda telah pun mempunyai tarikh yang sesuai untuk melangsungkan majlis pernikahan dan kenduri perkahwinan, jika tidak pun, sekurang-kurangnya beberapa tarikh yang berpotensi. Maka, untuk langkah seterusnya, adalah baik jika anda menetapkan pula lokasi majlis perkahwinan anda. Mulakan dengan meninjau beberapa pilihan lokasi yang diingini berserta dengan kos yang akan diperlukan.

Antara lokasi-lokasi popular yang sering dijadikan tempat untuk mengadakan majlis pernikahan adalah:

1. Rumah
Mengadakan majlis perkahwinan di rumah adalah lokasi pilihan yang paling popular. Selain menjimatkan kos, lokasi di rumah memudahkan kerja-kerja persediaan dan logistik majlis perkahwinan. Namun, sekiranya ingin dibuat di rumah, pastikan kawasan rumah anda adalah bersesuaian untuk diadakan majlis untuk ramai orang. Untuk melakukan sebarang aktiviti seperti nyanyian, persembahan dan sebagainya, sebaik-baiknya, minta kebenaran daripada jiran-jiran agar mereka tidak rasa terganggu dengan majlis perkahwinan anda. Minta juga kelulusan daripada majlis perbandaran tempatan jika terpaksa menutup jalan di sekitar kawasan rumah anda. Mengadakan majlis di rumah biasanya memerlukan anda menyewa kanopi, kerusi dan meja. Oleh itu, buatlah sedikit kajian untuk mencari pakej yang bersesuaian.

2. Dewan
Memilih dewan sebagai lokasi majlis perkahwinan adalah satu pilihan yang bijak. Untuk mencari dewan yang sesuai, bolehlah bertanya kepada majlis perbandaran di kawsan anda. Kadar sewa sesebuah dewan adalah berbeza-beza bergantung kepada saiz, lokasi dan kemudahan yang disediakan. Rancang dan senaraikan kelengkapan yang perlu dibawa ke dewan untuk melakukan persiapan majlis perkahwinan. Fikirkan juga susun atur meja dan kerusi, pelamin dan hiasan dalaman dewan tersebut. Kelebihan utama dewan adalah saiz dan kawasan meletak kereta yang membolehkan anda untuk menjemput ramai tetamu hadir ke majlis perkahwinan anda. Anda juga boleh mengelakkan kesesakan dan gangguan kepada jiran-jiran berbanding jika diadakan majlis perkahwinan di rumah.

3. Hotel
Untuk tampak mewah, majlis perkahwinan boleh diadakan di hotel. Kebiasaannya, caj yang dikenakan adalah mengikut jumlah tetamu yang datang. Kelebihan utama memilih hotel sebagai lokasi perkahwinan adalah dari segi kelengkapan majlis yang lengkap disediakan oleh pihak hotel. Begitu juga dengan hiasan meja  dan pelamin yang eksklusif, ditambah dengan hidangan makanan yang istimewa. Anda juga boleh meminta perkhidmatan tambahan seperti cenderamata untuk tetamu dan hiasan dewan mengikut tema tertentu. Namun, kehadiran tetamu di hotel adalah terhad. Maka, anda perlu menyenarai pendekkan dahulu nama-nama tetamu yang perlu hadir supaya tempat dan makanan adalah mencukupi. Di samping itu, anda mungkin perlu mengadakan satu majlis berasingan di lokasi lain untuk para tetamu yang tidak dapat dijemput ke hotel tempat majlis perkahwinan anda untuk menjaga hati mereka.

4. Taman
Di sesetengah tempat, terutamanya di bandar-bandar besar, ramai pasangan pengantin baru yang memilih taman sebagai lokasi majlis perkahwinan. Majlis boleh diadakan secara tertutup, iaitu terhad kepada beberapa orang tetamu, ataupun terbuka kepada semua. Sama seperti hotel, taman membuatkan majlis perkahwinan anda tampak mewah dan eksklusif. Tetapi, anda harus berhati-hati kerana lokasi di taman berdepan dengan risiko cuaca yang tidak menetu. Anda perlu menyediakan satu plan kecemasan jika cuaca tidak mengizinkan majlis diadakan di taman.

5. Masjid atau surau
Tidak salah untuk mengambil berkat dengan mengadakan majlis perkahwinan di masjid dan surau. Selain memudahkan kerja-kerja gotong-royong, sesetengah masjid menyediakan khidmat sewa kanopi, meja, kerusi dan pinggang-mangkuk untuk sesbuah majlis. Namun, beberapa perkara perlu dijaga. Antaranya, hendaklah menjaga aurat, batas pergaulan, jenis acara dan juga kebersihan. Berhati-hati juga agar tidak mengganggu waktu solat dan para jemaah yang hadir untuk bersolat. Dapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak pengurusan masjid terlebih dahulu sebelum mengadakan majlis di tempat tersebut.

Dalam memilih lokasi yang sesuai, beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian oleh anda:

1. Bajet
Ya, bajet sudah semestinya memainkan peranan yang penting dalam menentukan lokasi majlis perkahwinan anda (malahan dalam semua persiapan majlis perkahwinan, bajet perlu diambil kira terlebih dahulu). Jika anda mempunyai bajet yang besar dan mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang mewah, memilih hotel sebagai lokasi mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi, jika bajet yang anda ingin peruntukkan adalah kecil, rumah atau dewan adalah lokasi yang sesuai.

2. Majlis pernikahan dan kenduri kahwin
Jika anda bercadang mengadakan majlis pernikahan dan kenduri kahwin pada hari dan lokasi yang sama, anda boleh menjimatkan kos dalam beberapa perkara seperti pengangkutan dan sewa tempat. Jika anda bercadang untuk mengasingkan dua majlis tersebut, anda mungkin perlu menetapkan dua lokasi yang berbeza. Kebiasaannya, majlis pernikahan diadakan samaada di masjid, surau atau rumah, manakala kenduri kahwin samaada di rumah, dewan atau hotel.

3. Jumlah tetamu
Pilihlah lokasi yang sesuai dengan jumlah tetamu yang dijangka hadir. Jika anda menjangkakan ramai tetamu yang akan datang, memilih sebuah dewan yang besar dengan kawasan meletak kereta yang luas adalah pilihan yang terbaik.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



0 comments:

Post a Comment

loading...

Tentang Blog

Blog ini menyediakan tips-tips persediaan dan persiapan majlis perkahwinan. Sebarang cadangan, kritikan dan pandangan amat-amatlah dialu-alukan.

Iklan Premium

Iklan Premium

Strategi Kahwin Kaya

Entri Popular

Iklan Premium

Statistik Pelawat

Copyright (C) tipspersiapanmajlisperkahwinan. Powered by Blogger.