Thursday, 25 July 2013

Tips Persiapan Majlis Perkahwinan: Panduan Menetapkan Tarikh

Dalam merancang persiapan majlis perkahwinan, antara langkah awal yang perlu dilakukan adalah menetapkan tarikh supaya segala perancangan dapat disusun mengikut tempoh waktu yang ada. Sesetengah pasangan mungkin menetapkan sendiri tarikh mereka, sebelum memaklumkan kepada kedua ibubapa, kerana ini akan memudahkan mereka menyusun jadual mereka terutamanya jika kedua-duanya bekerja. Ada juga pasangan yang meminta kedua-dua ibubapa untuk duduk berbincang dan menetapkan tarikh yang sesuai. Tarikh ini meliputi tarikh pernikahan, majlis kenduri di pihak perempuan dan di pihak lelaki. Boleh saja jika hendak digabungkan beberapa majlis serentak.

Untuk menetapkan tarikh majlis perkahwinan, persetujuan kedua-dua pihak perlulah diperoleh dengan mengambil kira beberapa faktor penting. Kebiasaannya, tarikh majlis perkahwinan akan dibincangkan dan ditetapkan semasa majlis pertunangan, jadi pasangan boleh melakukan persiapan majlis perkahwinan sebaik sahaja selesai majlis pertunangan. Beberapa faktor yang perlu diberi perhatian semasa menetapkan tarikh majlis perkahwinan adalah:

1. Persetujuan yang lain
Perlu juga mendapatkan persetujuan majoriti daripada ahli keluarga terdekat seperti adik-beradik dan saudara-mara berkenaan tarikh yang ingin dipilih. Ini kerana mereka adalah tulang belakang majlis perkahwinan anda nanti; mereka akan mengiringi anda ke rumah pasangan dan juga membantu ketika majlis di pihak anda. Mungkin ada ahli keluarga yang perlu mengambil cuti ketika majlis perkahwinan anda. Mungkin ada yang telah merancang sesuatu yang lain pada waktu tersebut. Jadi, amatlah penting untuk memberi perhatian tentang perkara-perkara sebegini. Tidak perlu kepada persetujuan semua, cukuplah persetujuan majoriti.

2. Hari cuti
Kebanyakan orang suka mengadakan majlis perkahwinan semasa cuti sekolah kerana memudahkan ahli keluarga untuk berhimpun bersama-sama. Namun, oleh kerana jemputan majlis perkahwinan yang banyak, kadang-kadang menyukarkan tetamu terutama dari jauh untuk menghadiri majlis perkahwinan anda. Di samping itu, anda juga akan mendapati yang bayaran untuk perkhidmatan majlis perkahwinan seperti makanan, khemah, jurugambar dan set pelamin menjadi mahal. Bukan setakat itu, kualiti perkhidmatan yang diberi juga mungkin tidak setimpal kerana mereka penat memenuhi permintaan pelanggan yang ramai.

Alternatif yang lain adalah mengadakan majlis perkahwinan pada hari cuti biasa, seperti cuti hujung minggu ataupun cuti umum. Anda akan lebih mudah untuk memilih dan mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik. Tetapi, anda harus bersedia, kerana biasanya bilangan tetamu yang hadir mungkin akan melebihi jangkaan awal.

3. Faktor cuaca
Cuaca hujan dan buruk akan mengurangkan kemeriahan majlis perkahwinan anda. Jadi, cubalah untuk menetapkan tarikh majlis perkahwinan di luar musim hujan. Bagi di sebelah barat Semenanjung Malaysia, mungkin tidak menjadi masalah kerana tiada musim tengkujuh dan hujan hanya kadang-kadang di waktu petang. Bagi di sebelah timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, cubalah untuk elakkan musim tengkujuh. Jika tiada pilihan, buatlah majlis pernikahan terlebih dahulu, dan tangguhkan kenduri perkahwinan ke tarikh lain.

4. Tarikh yang cantik
Sesetengan orang mempunyai impian untuk berkahwin pada hari yang mempunyai tarikh yang cantik, seperti 13.03.13 ataupun 14.04.14. Tidak salah, asalkan saja tarikh tersebut jatuh pada hari dan waktu yang sesuai. Lagipun, memilih tarikh sebegini akan memudahkan anda dan pasangan untuk mengingati ulang tahun perkahwinan.

5. Bulan Ramadhan
Dinasihatkan supaya tidak melangsungkan perkahwinan dekat dengan bulan Ramadhan. Ini kerana, dalam bulan tersebut, suami isteri dilarang melakukan hubungan intim pada waktu siang (dibolehkan pada waktu malam). Larangan tidak melangsungkan perkahwinan dekat dengan bulan yang mulia ini untuk mengelakkan pasangan pengantin baru tidak dapat menahan gelojak nafsu fitrah mereka sehingga menjejaskan amalan puasa dan dikenakan denda kifarah.

6. Jurunikah dan saksi
Tanyakan juga kepada jurunikah dan saksi-saksi anda. Jika perlu, ubah tarikh pernikahan untuk memudahkan jurunikah untuk hadir. Maklumlah, seorang jurunikah mungkin perlu ke sana ke mari untuk memenuhi permintaan orang.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Saturday, 20 July 2013

Panduan Ringkas Merancang Bajet Persiapan Majlis Perkahwinan

Perkara yang paling utama yang perlu dilakukan apabila anda bersedia untuk memulakan persiapan majlis perkahwinan anda adalah merancang bajet terlebih dahulu. Merangka bajet sangat penting kerana adalah mustahil untuk mengawal berapa banyak yang anda boleh belanjakan untuk setiap perkara berkaitan persiapan majlis perkahwinan jika anda tidak menetapkan sebarang had perbelanjaan.

Untuk kebanyakan bakal pengantin baru, merangka bajet adalah perkara yang sukar kerana masing-masing pastinya mengidamkan sebuah majlis perkahwinan yang meriah dengan jumlah perbelanjaan yang mampu ditampung. Hari-hari yang mana ibubapa menanggung sepenuhnya perbelanjaan majlis perkahwinan anak-anak telah lama berlalu. Pada zaman sekarang, ibubapa hanya menampung sebahagian perbelanjaan sebagai hadiah kepada pasangan pengantin baru, dan bukan lagi menampung sepenuhnya. Tambahan lagi, kebanyakan pasangan pengantin ingin menampung sendiri perbelanjaan majlis perkahwinan supaya memudahkan mereka mengawal apa yang dikehendaki dan sebagai bukti yang mereka boleh berdikari selepas berumahtangga.

Oleh kerana kebanyakan bakal pengantin kini menampung sendiri perbelanjaan majlis perkahwinan mereka, adalah sangat baik jika mereka dapat mengawal sendiri ke mana wang mereka perlu dibelanjakan. Untuk langkah pertama, bakal pengantin perlulah mengetahui jumlah wang yang mereka ada, dan berapa banyak yang mereka sanggup korbankan untuk sebuah majlis perkahwinan. Segala wang yang berada di tangan, dalam akaun simpanan dan yang bakal diperoleh sebelum majlis perkahwinan berlangsung perlulah dikira dan dicatat.

Setelah mengetahui berapa banyak wang yang ada, wang tersebut boleh diagihkan untuk perbelanjaan-perbelanjaan utama yang berikut:
1. Pra-perkahwinan - kursus perkahwinan, borang nikah, ujian HIV
2. Kenduri kahwin - makanan, kerusi, meja, khemah, dewan, 'goodies'
3. Hantaran kahwin - maskahwin, barang-barang hantaran, wang hantaran
4. Majlis perkahwinan - kad kahwin, set pakaian, perabot, pelamin, hiasan bilik tidur
5. Perkhidmatan - jurusolek, mak andam, jurugambar, juruvideo
6. Selepas majlis - bulan madu, hadiah untuk keluarga
7. Lain-lain - kenderaan, tempat penginapan terutama jika jarak antara pasangan adalah jauh

Jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan kepada setiap perkara di atas perlulah diagihkan berdasarkan jumlah keseluruhan wang yang ingin anda belanjakan. Kebiasaannya, sebahagian besar wang akan diperuntukkan untuk menampung perbelanjaan kenduri dan hantaran kahwin berbanding yang lain. Dalam adat perkahwinan Melayu, pihak pengantin perempuan biasanya membelanjakan wang yang lebih banyak untuk kenduri kahwin, manakala pihak lelaki lebih banyak kepada hantaran kahwin. Secara keseluruhannya, pihak lelaki akan memerlukan jumlah wang yang lebih besar berbanding pihak pengantin perempuan.

Setelah mengagihkan peruntukan kepada setiap perbelanjaan utama, sebaik-baiknya bina sebuah jadual senarai perbelanjaan. Jadual ini mempunyai minimum tiga kolum; kolum pertama untuk perkara perbelanjaan, kolum kedua untuk anggaran perbelanjaan dan yang ketiga untuk perbelanjaan sebenar. Setiap kali anda mengeluarkan duit untuk menyelesaikan setiap perkara, catatkan jumlah sebenar yang anda keluarkan. Dengan cara ini, anda dapat mengawal perbelanjaan dengan lebih baik, di samping membantu mengesan sebarang pembaziran ataupun penjimatan.

Dengan merancang bajet sebegini, walau dengan jumlah peruntukan yang kecil, anda masih boleh mendapatkan sebuah majlis perkahwinan yang indah dan meriah. Pastikan setiap perbelanjaan yang anda keluarkan adalah setimpal dengan apa yang anda bakal perolehi. Elakkan pembaziran pada perkara-perkara yang tidak perlu. Bajet yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik akan memastikan kedudukan kewangan yang stabil untuk anda dan pasangan nanti. Harus diingat, majlis perkahwinan hanyalah permulaan kepada lebih banyak cabaran rumahtangga selepas anda bernikah.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan


Thursday, 18 July 2013

3 Perkara Utama Perlu Dijaga Sebagai Persiapan Majlis Perkahwinan

Melakukan kerja-kerja persiapan majlis perkahwinan biasanya memakan masa yang lama dan akan meletihkan anda. Oleh itu, amatlah penting untuk anda menjaga beberapa perkara yang berikut agar persiapan majlis perkahwinan anda tidak terjejas:

1. Kewangan
Segala yang berkaitan dengan persiapan majlis perkahwinan anda semestinya memerlukan peruntukan tersendiri. Dalam keghairahan anda menyiapkan segala keperluan, amatlah penting untuk anda sentiasa memastikan setiap perbelanjaan yang dibuat mengikut ketetapan bajet yang dirancang dan jumlah wang yang anda ada. Adalah satu kesilapan yang besar jika anda terlalu menginginkan majlis perkahwinan yang gah sehingga meletakkan anda dan pasangan pada kedudukan kewangan yang tidak sihat, lebih-lebih lagi ketika baru sahaja memulakan fasa kehidupan berumah-tangga.

Di samping memikirkan kedudukan kewangan anda, fikirkan juga tentang ibubapa, keluarga dan rakan-rakan anda. Mereka mungkin sudi untuk membantu membiayai serba-sedikit persiapan perkahwinan anda, namun janganlah sampai anda mengambil kesempatan dengan membebankan mereka dengan perbelanjaan yang bukan-bukan. Majlis perkahwinan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, bukannya merenggangkan lagi.

2. Jadual
Hampir semua perkara yang melibatkan persiapan majlis perkahwinan anda akan memerlukan masa yang banyak untuk diselesaikan. Kerana itulah pentingnya membuat perancangan rapi untuk setiap keperluan persiapan majlis perkahwinan agar anda dapat membahagikan masa antara melakukan perkara-perkara yang perlu dengan melaksanakan tugasan biasa harian anda. Anda juga perlu fleksibel untuk mengubah jadual jika perlu menyelesaikan perkara-perkara di luar jangkaan. Mempunyai jadual yang sistematik bukan sahaja akan melancarkan rancangan persiapan majlis perkahwinan anda, malahan anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan bersama-sama keluarga, berehat untuk menenangkan diri dan mengurangkan tekanan agar dapat tampil berseri-seri pada majlis perkahwinan nanti.

3. Kesihatan
Dalam kesibukan menyiapkan segala persiapan majlis perkahwinan, janganlah lupa untuk menjaga kesihatan sendiri. Walau dibebani dengan banyak perkara yang perlu diselesaikan, yang meletihkan fizikal dan mental anda, sentiasalah beringat untuk tidak terlalu menekan diri-sendiri. Sebaik-baiknya, lakukan pemeriksaan kesihatan, makan secara sihat dan lakukan senaman untuk menjaga kesihatan sendiri, di samping supaya dapat tampil lebih menawan pada hari bahagian nanti. Tiada gunanya anda berpenat-lelah menyiapkan segala keperluan, tetapi apabila tiba hari yang dinanti, kesihatan diri terjejas menyebabkan anda tidak dapat menikmati majlis perkahwinan sendiri.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan


Tuesday, 16 July 2013

Tips Merancang Bajet Persiapan Majlis Perkahwinan

Sebuah majlis perkahwinan mungkin akan menjadi suatu beban perbelanjaan yang besar terhadap pasangan baru berkahwin dan juga ibubapa pasangan tersebut jika tiada sebarang perancangan dan bajet sistematik ditetapkan. Biasanya, akan banyak perbelanjaan yang tidak disangka perlu dikeluarkan untuk menampung persiapan majlis perkahwinan. Malah, pembaziran juga akan berlaku kerana membeli perkara-perkara yang tidak perlu jika tiada bajet ditetapkan. Tanpa perancangan kewangan yang rapi juga, pasangan pengantin baru mungkin akan menghadapi masalah kewangan yang serius yang boleh berlanjutan untuk tempoh yang lama. Jadi, amatlah penting untuk terlebih dahulu merangka bajet persiapan majlis perkahwinan. Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan dalam merancang bajet persiapan majlis perkahwinan:

1. Tentukan perkara-perkara dan barang-barang utama yang diperlukan, senaraikan dan usah berasa ragu untuk menyingkirkan perkara-perkara yang tidak penting. Berbincanglah dengan bakal pasangan tentang keperluan untuk majlis perkahwinan nanti. Tetapkan tema, persalinan, hantaran dan maskahwin bersama-sama.

2. Pada peringkat awal, jangan beranggapan yang orang lain akan memberi bantuan kewangan kepada anda. Tidak kiralah samaada daripada ibubapa, keluarga ataupun rakan. Sebaik-baiknya, rancang perbelanjaan untuk menggunakan wang anda sendiri terlebih dahulu. Dengan cara ini, anda dapat mengelakkan sebarang ketidaktentuan di saat-saat akhir persiapan majlis perkahwinan anda nanti.

3. Jika ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang menawarkan untuk memberi sumbangan kewangan, mungkin wang tersebut boleh digunakan kemudian untuk menampung perkara-perkara sampingan atau tidak dijangka. Usah terlalu berharap untuk mendapat bantuan, mungkin pemberi membatalkan hasrat mereka jika berlaku perkara-perkara tidak diingini seperti kemalangan, sakit ataupun keperluan lain yang lebih mendesak. Jika ini berlaku, anda yang akan susah nanti.

4. Berbincang dan dapatkan pandangan daripada yang lain. Ahli keluarga atau rakan-rakan anda mungkin mempunyai pengalaman merancang persiapan majlis perkahwinan, dan mereka pastinya mengetahui mana-mana pembekal atau kedai yang menawarkan harga istimewa. Mereka juga boleh memberi idea untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan anda nanti.

5. Buat sedikit kajian sebelum membeli-belah barang-barang keperluan majlis perkahwinan anda. Selain daripada segi harga, teliti juga daripada segi perkhidmatan yang mereka tawarkan. Jika ada festival atau pameran pengantin berdekatan tempat anda, jangan lupa untuk pergi. Di samping memudahkan anda untuk melakukan kajian kerana semuanya di bawah satu bumbung, anda juga akan ditwarkan dengan pelbagai tawaran dan diskaun yang menarik.

6. Sebagai langkah terakhir, anda dan pasangan mungkin perlu memohon pembiayaan peribadi. Sebaik-baiknya, cuba untuk elakkan perkara ini. Namun, jika tiada pilihan, beberapa perkara tersebut mungkin perlu dititikberatkan:
- Adakah pinjaman wang sangat-sangat diperlukan untuk persiapan majlis perkahwinan? Adakah masih ada cara lain?
- Berapa banyak wang yang perlu dipinjam? Berapa lama tempoh bayaran yang diingini?
- Adakah anda mampu menampung beban bayaran bulanan untuk tempoh yang panjang?
- Adakah beban tambahan ini akan menjejaskan perancangan kewangan anda yang lain?
- Adakah beban pinjaman akan menjejaskan hubungan dengan pasangan dan keluarga?
- Apakah pilihan pinjaman yang ada? Skim pinjaman manakah yang terbaik?
- Adakah dengan wang tambahan ini akan memeriahkan lagi majlis perkahwinan nanti?

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Sunday, 14 July 2013

Tips Mengurangkan Stress Persiapan Majlis Perkahwinan

Anda mungkin kurang atau tidak pernah mengalami stress sepanjang hayat anda. Namun, apabila merancang dan melakukan persiapan majlis perkahwinan, anda pasti akan mendapat pengalaman merasai tekanan dan stress. Tiada ubat mujarab yang dapat meredakan tekanan yang dihadapi. Namun, ada beberapa tips yang boleh membantu untuk meredakan tekanan persiapan majlis perkahwinan:

1. Fokus kepada tugas, kerja dan aktiviti sosial harian anda
Teruskan aktiviti seperti biasa. Usah biarkan persiapan majlis perkahwinan anda mengganggu aktiviti harian anda. Jika anda tidak melakukan sebegini, anda mungkin akan mengalami stress. Bukan itu sahaja, malahan akan menjejaskan hasil kerja dan hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan anda.

2. Usah terlalu memikirkan persiapan majlis perkahwinan anda
Jangan mulakan setiap perbualan anda berbicara tentang persiapan anda, pasangan dan majlis perkahwinan. Terlalu banyak bercakap tentang majlis perkahwinan anda akan menyebabkan orang lain berasa rimas. Jika perlu berbincang, lakukan dalam keadaan relaks dan santai.

3. Banyakkan bersenam dan berehat
Bersenam bukan sahaja dapat mengelakkan stress, bahkan dapat membantu anda mendapatkan berat dan bentuk badan ideal untuk majlis perkahwinan anda nanti. Di samping itu, akan menambahkan stamina anda untuk bersama-sama dengan pasangan nanti. Dapatkan buku-buku rujukan berkenaan senaman, dan lakukan bersama-sama rakan anda.

4. Dapatkan pemeriksaan kesihatan yang lengkap
Di samping ujian HIV yang diwajibkan kepada pasangan yang ingin bernikah, sebaik-baiknya lakukan juga pemeriksaan yang lain. Anda boleh mengetahui tahap kesihatan anda sebelum melangsungkan perkahwinan.

5. Dapatkan urutan badan yang lengkap
Urutan dapat menenangkan diri dan mengurangkan ketegangan badan. Dengan melakukan urutan secara berkala, anda akan kelihatan lebih segar pada hari majlis perkahwinan nanti.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Friday, 12 July 2013

Perkara-perkara Wajib Ada Untuk Persiapan Majlis Perkahwinan


 1. Bajet
Sebelum memulakan persiapan majlis perkahwinan, tetapkan dahulu berapa banyak bajet yang diperlukan dan yang anda sanggup keluarkan. Rancang bajet dengan sebaik-baiknya. Berbincang dengan pasangan dan rangka draf perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk persiapan majlis perkahwinan. Bincangkan juga tentang sumber bajet agar semuanya boleh disediakan.

2. Prosedur pernikahan
Borang nikah, kadi, wali, saksi, ujian HIV, kursus kahwin, mas kahwin dan dokumen-dokumen berkaitan; pastikan anda dan pasangan tahu apa yang perlu dilakukan dan dipersiapkan untuk memenuhi semua syarat prosedur pernikahan yang ditetapkan Jabatan Agama Negeri. Setiap negeri mungkin mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Rancang bila dan tempoh yang sesuai untuk melaksanakan semua prosedur yang dikehendaki. Sebaik-baiknya, mulakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh majlis pernikahan.

3. Makanan untuk majlis kenduri
Kebiasaannya, banyak belanja diperlukan untuk mempersiapkan makanan untuk majlis kenduri. Anda boleh memilih samaada untuk memasak sendiri pada hari majlis, ataupun menempah dengan katerer. Anda mungkin boleh berjimat dengan memasak sendiri, namun banyak perkara perlu dipersiapkan terutama dalam penyediaan bahan-bahan masakan. Tentukan menu dan kuantiti hidangan yang sesuai untuk majlis kenduri nanti. Sebaik-baiknya, mulakan persiapan dalam tempoh tiga bulan sebelum majlis.

4. Kanopi dan set kenduri
Kanopi, kerusi, meja, pinggan, mangkuk dan set menghidang; pastikan anda tahu dengan siapa dan bagaimana untuk dapatkan semua keperluan tersebut. Jika menempah makanan dengan katerer, mereka mungkin turut menyediakan semua keperluan ini. Jika tidak, anda perlu dapatkan dari penyedia perkhidmatan ini. Senaraikan dahulu barang-barang yang diperlukan, jangan sampai tertinggal perkara-perkara yang kecil seperti sudu, garfu dan bekas air.

5. Kad jemputan kahwin
Kad jemputan kahwin adalah medium utama untuk menjemput tetamu ke majlis perkahwinan anda. Untuk menempah kad jemputan kahwin, sebaik-baiknya dilakukan tiga bulan sebelum majlis perkahwinan. Ingat, kad perlu diedar dalam tempoh sebulan sebelum majlis, jadi pastikan anda boleh memastikan kad siap sebelum diedarkan. Kad boleh ditempah di kedai-kedai berhampiran tempat anda. Untuk lebih mudah lagi, tempah sahaja secara 'online'.

6. Set pengantin
Set pengantin merangkumi pelamin, meja beradap, hiasan bilik tidur dan juga busana pengantin. Anda boleh mengambil pakej lengkap yang menyediakan semuanya. Seleok-eloknya, tempah awal supaya anda mempunyai lebih banyak pilihan.

7. Jurugambar
Rugi sekiranya kenangan indah majlis perkahwinan tidak diabadikan dalam bentuk gambar. Di sinilah pentingnya mendapatkan khidmat seorang jurugambar profesional untuk merakamkan kenangan majlis anda. Jika ada bajet lebih, boleh dapatkan juga khidmat videografer. Pada masa sekarang, ramai yang menyediakan kedua-dua pakej video dan gambar. Semuanya bergantung kepada pilihan dan bajet anda.

8. Hantaran perkahwinan
Tentukan berapa bilangan hantaran perkahwinan yang akan disediakan oleh setiap pasangan. Mengikut adat Melayu, biasanya bilangan hantaran perkahwinan adalah bernombor ganjil, dan bilangan yang diberikan pengantin perempuan melebihi bilangan yang diberikan pengantin lelaki. Namun, tidak salah jika ingin memberikan bilangan yang sama. Untuk gubahan hantaran perkahwinan, anda mungkin boleh lakukan sendiri. Banyak video panduan yang boleh anda tonton. Jika ada bajet lebih, upah sahaja orang lain untuk melakukannya.

9. Ole-ole tetamu
Seperkara lagi yang perlu ada untuk persiapan majlis perkahwinan adalah ole-ole untuk tetamu. Ini sebagai tanda cenderahati untuk para tetamu yang sudi hadir memeriahkan majlis perkahwinan anda.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



Thursday, 11 July 2013

10 Langkah Persiapan Majlis Perkahwinan-Bhg. 2


6. Tindakan
Setelah semua perancangan persiapan majlis perkahwinan dilakukan, tibalah masanya anda mengambil tindakan merealisasikan apa-apa yang dirancang. Cubalah untuk mematuhi tempoh yang telah anda tetapkan untuk setiap perkara senarai semak yang dirancangkan dalam langkah 3. Sekiranya terbabas, lakukan sedikit pengubahsuaian pada perancangan supaya anda masih boleh mencapai majlis perkahwinan impian anda. Utamakan untuk mendapatkan barang-barang keperluan asas terlebih dahulu, sebelum mendapatkan yang lain-lain. Di samping memastikan kelancaran persiapan, ini juga membantu anda untuk mengawal bajet majlis perkahwinan anda.

7. Bahagikan tugas
Dalam melaksanakan segala rancangan persiapan majlis perkahwinan anda, usahlah dibebankan semua perkara ke atas bahu anda. Melakukan semua perkara sendiri bukan sahaja akan memenatkan anda, bahkan membuatkan anda jemu dan tidak bersemangat meneruskan persiapan majlis perkahwinan. Anda mungkin juga akan mengalami tekanan, dan menyebabkan kelihatan lesu semasa majlis nanti. Adakah anda mahu kelihatan lesu pada hari sepatutnya anda menjadi raja atau permaisuri sehari? Jika tidak mahu, maka, mintalah pertolongan daripada keluarga dan rakan dalam melakukan tugas-tugas persiapan majlis perkahwinan anda.

8. Periksa dan semak
Apabila semua barang diperoleh dan semua perkara berkaitan persiapan majlis perkahwinan anda diselesaikan, jangan lupa untuk memeriksa setiapnya dan semak beberapa kali untuk memastikan semuanya berkeadaan baik sehingga hari majlis perkahwinan. Di sinilah bergunanya senarai semak yang disediakan dalam langkah 4 tadi. Jangan lupa juga untuk menghubungi jurugambar, juruvideo, DJ, jurusolek dan pengapit supaya ingat akan tarikh majlis perkahwinan dan memastikan tiada apa-apa masalah yang berlaku. Ingatkan juga kepada ahli keluarga atau rakan tentang peranan masing-masing semasa majlis perkahwinan nanti.

9. Bergembiralah
Kini tibanya hari majlis perkahwinan anda. Segala persiapan yang dirancang harusnya dilaksanakan dengan baik pada hari ini. Tugas anda, bergembiralah! Biarkan orang yang telah anda beri peranan untuk menjalankan tugas masing-masing. Hari ini adalah hari bahagia anda dan anda seharunsya menikmatinya sebaik-baiknya.

10. Selesaikan tugas
Walaupun majlis perkahwinan anda telah berlalu, namun tugas anda masih belum berakhir. Ada beberapa perkara yang perlu dilaksanakan. Segala barang yang disewa seperti pelamin, khemah, baju pengantin dan pinggan mangkuk, perlulah dibersihkan dan dipulangkan kepada pembekal asal. Jika masih ada bayaran yang belum diselesaikan, sila jelaskan segera setelah berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi. Hargai ahli keluarga dan rakan-rakan yang bertungkus-lumus menjayakan majlis perkahwinan anda dengan sedikit jamuan kecil samaada di restoran ataupun di rumah sahaja.

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan



10 Langkah Persiapan Majlis Perkahwinan-Bhg. 1

 1. Tetapkan matlamat
Adakah anda inginkan sebuah majlis perkahwinan yang membosankan? Adakah anda mahu tetamu anda hanya sekadar datang untuk makan? Tentunya tidak, bukan. Anda semestinya inginkan sebuah majlis yang meriah yang menjadi kenangan terindah dalam hidup anda. Anda juga pastinya ingin meraikan tetamu yang sudi bertandang. Oleh itu, tetapkanlah matlamat dan nyatakan objektif yang jelas untuk majlis perkahwinan anda supaya majlis perkahwinan tersebut dapat menggembirakan diri anda sendiri, pasangan, keluarga, rakan-rakan dan tetamu-tetamu yang hadir. Sebaik-baiknya, matlamat majlis perkahwinan anda sepatutnya:
- Meraikan pengantin.
- Menghebahkan berita pernikahan (untuk menghindari fitnah).
- Merapatkan silaturrahim sesama keluarga dan saudara mara.
- Berkongsi kegembiraan dengan semua orang.
- Mengikut sunnah Nabi SAW.
- Meraikan anak-anak yatim.
- Menggembirakan ibubapa yang telah banyak berjasa pada kami.
Dan lain-lain lagi…

2. Lakarkan majlis perkahwinan impian
Sebagai bakal pengantin baru, anda mungkin telah merancang majlis perkahwinan impian sejak kecil lagi. Jadi, sekarang adalah masanya untuk anda merealisasikan majlis perkahwinan impian anda supaya menjadi kenangan terindah dalam hidup anda dan pasangan. Dalam merancang majlis perkahwinan impian, beberapa aspek perlu dititikberatkan:
1. Bajet - Berapakah yang anda ingin belanjakan untuk majlis perkahwinan impian anda?
2. Anggaran jumlah tetamu - Berapa dan siapa tetamu yang ingin anda dan keluarga jemput
3. Tarikh atau hari majlis perkahwinan - Bilakah tarikh dan hari majlis perkahwinan anda ingin diadakan?
4. Tema majlis - Adakah anda mahukan majlis yang sederhana dan meriah, menyeronokkan, romantik, tradisional dan sebagainya.

3. Merancang aturcara majlis perkahwinan impian
Perancangan awal aturcara majlis perkahwinan memastikan persiapan majlis perkahwinan anda berjalan dengan lancar dan teratur. Tuliskan aturcara yang anda inginkan, bermula dari pagi hingga selesai majlis. Beberapa sesi utama seperti sesi akad nikah, memakai cincin, makan beradab dan bergambar perlu diatur untuk melancarkan perjalanan majlis. Anda juga mungkin ingin menyertakan beberapa acara sampingan seperti sesi ucapan, persembahan dan pembahagian hadiah. Aturcara yang baik bukan sahaja membantu kelancaran majlis, bahkan akan memudahkan untuk membahagikan tugas-tugas kepada ahli keluarga yang akan menjadi urusetia majlis perkahwinan anda.

4. Sediakan senarai semak
Senarai semak yang mengandungi perkara-perkara yang perlu dilakukan dan barang-barang yang perlu diadakan akan memudahkan persiapan majlis perkahwinan anda. Untuk perkara-perkara yang perlu dilakukan, sebaik-baiknya anda menyusun mengikut turutan masa, bermula dari masa perancangan sehinggalah ke hari majlis. Untuk barang-barang keperluan pula, cubalah untuk lakukan sedikit kajian harga, supaya anda mendapatkan barang terbaik pada harga terbaik.

5. Rancang bajet
Dalam merancang persiapan majlis perkahwinan, bajet memainkan peranan yang sangat penting. Sebaik-baiknya anda mula menabung semenjak awal lagi untuk membiayai majlis perkahwinan anda. Anda mungkin juga boleh meminta bantuan daripada ibubapa dan ahli keluarga untuk menyumbang sedikit peruntukan. Kumpulkan semua sumber kewangan yang anda ada, jumlahkan dan cuba agihkan dengan baik ke arah setiap bahagian persiapan majlis perkahwinan anda. Jika terdesak, anda mungkin perlu membuat pinjaman peribadi, namun perkara ini sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

[bersambung]
10 Langkah Persiapan Majlis Perkahwinan-Bhg. 2

Klik banner-banner di bawah untuk lebih banyak tips persiapan majlis perkahwinan